Dasar dagang AS: Pasaran saham India rugi USD196 bilion

Dasar dagang AS: Pasaran saham India rugi USD196 bilion

Tarif dikenakan pentadbiran Donald Trump menyebabkan pengeluaran dana asing berterusan yang cetus kebimbangan kejatuhan pasaran saham India.

Trump Modi EPA 100225
Lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke AS harap dapat menyuntik kelegaan terhadap ketidaktentuan dagangan kesan daripada pentadbiran Donald Trump. (Gambar EPA Images)
NEW DELHI:
Pelabur ekuiti kehilangan sekitar 17 trilion rupee India (USD196 bilion) berikutan ketidaktentuan berterusan mengenai dasar perdagangan dan tarif Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua yang memetik laporan dalam talian oleh The Times of India.

Pada Isnin, kerajaan AS mengumumkan tarif 25% yang seragam ke atas import keluli dan aluminium. “Keputusan ini bertujuan untuk menyokong industri domestik AS yang sedang bergelut, tetapi berisiko mencetuskan konflik perdagangan yang lebih luas,” menurut laporan media dalam talian itu.

Menurut laporan itu, pasaran saham India Bursa Saham Bombay (BSE) dan Bursa Saham Nasional (NSE) merosot kira-kira 3% dalam lima sesi terakhir. “Pendapatan domestik yang lemah dan kebimbangan mengenai dasar perdagangan AS memberi kesan negatif kepada sentimen pasaran,” tambah laporan media itu.

Pasaran ekuiti India jatuh pada Selasa, dengan sektor perbankan, automotif, logam, dan teknologi maklumat (IT) mengalami penurunan, menurut laporan itu, sambil menambah pengeluaran dana asing yang berterusan dan pengenaan tarif baharu oleh AS mencetuskan kebimbangan kejatuhan saham India.

BSE turun sebanyak 2,290.21 mata atau penurunan 2.91% lima hari yang lalu. Pada Selasa, ia jatuh sebanyak 1,018.20 mata kepada 76,293.60 mata, menyebabkan pengurangan besar sekitar 9,296 bilion rupee India (USD107 bilion) dalam satu sesi sahaja.

Begitu juga, NSE jatuh sebanyak 309.80 mata kepada 23,071.80 mata pada hari yang sama.

Laporan itu turut memetik Ketua Penyelidikan Geojit Financial Services Vinod Nair, yang mengatakan pelabur mengharapkan lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke AS dapat menyuntik kelegaan terhadap ketidaktentuan dagangan.

Modi dijadualkan melawat AS pada Rabu dan dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden AS Donald Trump.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.