Ringgit mengukuh, KPKM runding untuk semak semula harga beras import

Ringgit mengukuh, KPKM runding untuk semak semula harga beras import

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata ia bagi membolehkan pengguna membelinya dengan harga berpatutan.

beras
Mohamad Sabu berkata kementeriannya sedang berunding dengan Bernas untuk menyemak semula harga pelarasan beras putih import susulan pengukuhan nilai ringgit.
PETALING JAYA:
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berunding dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk menyemak semula harga pelarasan beras putih import (BPI) baharu agar pengguna dapat membelinya dengan harga berpatutan.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata usaha itu dibuat berikutan pengukuhan nilai ringgit sejak kebelakangan ini.

“Berikutan pengukuhan nilai ringgit, kita sedang berunding dengan Bernas untuk menyemak harga itu bagi membolehkan pengguna memperoleh beras import pada harga berpatutan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang mempersoal mengapa masalah kekurangan beras tempatan di pasaran masih berlanjutan dan dengan kenaikan nilai ringgit, adakah harga beras import akan turun.

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu.

Mengulas isu ketiadaan beras putih tempatan (BPT) di pasaran yang melanda negara sejak 2023, Mohamad berkata pihaknya sentiasa berusaha dengan melakukan pelbagai pendekatan bagi memastikan bekalan di pasaran mampu memenuhi keperluan pengguna.

“Dalam usaha untuk memastikan kelangsungan industri padi beras negara, kementerian kini giat melaksanakan rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras.

“Antara langkah yang diambil melalui reformasi ini adalah pemantapan tatakelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Bernas.

“Selain itu, kita mewujudkan peraturan baharu larangan percampuran beras putih tempatan dengan beras putih import termasuk kajian daya saing struktur harga padi dan beras, penggabungan penguatkuasa di bawah KPKM bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan serta reformasi pentadbiran Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.