Tak lapor segera trek di hutan demi elak dikesan, kata saksi RCI Wang Kelian

Tak lapor segera trek di hutan demi elak dikesan, kata saksi RCI Wang Kelian

Saksi ke-2 RCI, Sarjan Yusof Islam Hassan berkata, beliau mendapati ada kesan aktiviti manusia dalam hutan itu selepas beberapa pemantauan.

Yusof Islam Hassan berkata, beliau ternampak 6 individu dalam keadaan lemah, kotor dan kesan luka pada badan di dalam khemah bawah berkunci, ketika melakukan pemantauan bersama 9 anggota dan seorang pegawai penyiasat pada Januari 2015.
PUTRAJAYA:
Sarjan Yusof Islam Hassan memberitahu pendengaran awam mengenai penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis bahawa trek dalam hutan itu dikesan pada awal Januari 2015, ketika beliau baru berpindah ke Batalion 3 Pasukan Gerakan Am.

Saksi ke-2 itu berkata, selepas mendapati ada kesan aktiviti manusia dalam hutan itu susulan beberapa pemantauan, beliau tidak segera memaklumkan pihak atasan bagi mengelakkan individu dalam hutan itu melarikan diri selepas mengesan kehadiran polis.

“Saya tidak membuat laporan kepada pihak atasan kerana takut bising (pada waktu itu). Sebaik sampai di pos Wang Kelian, saya (baru) maklumkan apa yang berlaku,” katanya kepada pegawai pengendali Suruhanjaya Siasatan Diraja, Saiful Hazmi Mohd Saad.

Mengimbau kembali keadaan pada 19 Januari 2015, Yusof yang ketika itu merupakan komander subseksyen di Batalion 3 berpangkat koperal berkata, beliau ternampak 6 individu berada di dalam khemah berkunci ketika melakukan pemantauan bersama 9 anggota dan seorang pegawai penyiasat.

“Saya lihat mereka dalam keadaan lemah dan kotor, serta ada kesan luka pada badan.

“Kawasan sekitar juga tidak terurus,” katanya sambil memaklumkan semua individu yang dipercayai pendatang asing tanpa izin itu kemudiannya dibawa ke pos Wang Kelian, sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar.

RCI 7 anggota itu dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria dan bekas ketua polis negara, Norian Mai dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Pada 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan 147 kubur, 130 rangka manusia dan 28 kem penyeludupan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, sempadan Malaysia-Thailand.

Terdahulu, RCI itu memanggil Koperal Mat Ten dari Batalion 3 PGA untuk memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.