Keterangan bertulis mangsa boleh digunakan dalam kes pemerdagangan manusia, kata mahkamah

Keterangan bertulis mangsa boleh digunakan dalam kes pemerdagangan manusia, kata mahkamah

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata orang yang dituduh masih diberi perbicaraan yang adil dan perlindungan sama rata.

Mahkamah menjawab pertanyaan daripada K Ketheeswaran dan isterinya, Vivienne, tentang menggunakan keterangan bersumpah sebagai keterangan bagi perbicaraaan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan memutuskan keterangan bersumpah oleh orang yang diseludup masuk boleh diterima sebagai keterangan dalam perbicaraan bagi kes berkenaan undang-undang pemerdagangan manusia.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata penerimaan kenyataan bersumpah sebagai keterangan tidak menyalahi Perlembagaan atau menghalang orang yang dituduh atas kesalahan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670) daripada mendapat perbicaran yang adil.

Seksyen 61A akta sama menyatakan bahawa pihak pendakwaan boleh mengemukakan keterangan bertulis orang yang didagangkan atau orang diseludup yang telah dihantar pulang sebagai keterangan prima facie.

“Hak seseorang tertuduh diberi perbicaraan yang adil mesti mengambil kira hak mangsa dan masyarakat,” kata Tengku Maimum ketika menolak hujah daripada satu pasangan bahawa peruntukan undang-undang berkenaan melanggar hak mereka untuk diberi perbicaraan adil dan perlindungan sama rata.

Tengku Maimum, yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Zabidin Diah dan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, Abu Bakar Jais, dan Abdul Karim Jalil juga memutuskan bahawa menerima keterangan sebegitu tidak menyalahi bidang kuasa mahkamah.

Katanya, badan kehakiman wajib menilai semua keterangan pada penghujung kes pihak pendakwaan, sebelum memutuskan sama ada seseorang teruduh perlu diperintah membela diri atau tidak.

Pada 2019, seorang ahli perniagaan, K Ketheeswaran, dan isteri, Vivienne Ketheeswaran, dituduh atas tiga tuduhan pemerdagangan manusia membabitkan tiga wanita Indonesia, antara 2012 dan 2019, di Mahkamah Sesyen Klang.

Sebelum perbicaraan bermula, peguam mereka memohon mahkamah menjelaskan beberapa persoalan, yang akhirnya dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah ditanya sama ada Seksyen 12 Akta 670 tidak mengikut Perlembagaan, dan sama ada ia menyalahi doktrin pemisahan kuasa yang dinyatakan dalam Perkara 121(1) Perlembagaan.

Mahkamah juga ditanya sama ada seksyen akta sama menyalahi hak asasi seseorang tertuduh untuk diberi perbicaraan adil, dan sama ada ia menyalahi hak sama rata yang dinyatakan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan.

Sidang lima hakim memutuskan bahawa pemeriksaan balas merupakan aspek penting dalam perbicaraan, terutama kes jenayah.

“Namun begitu, tidak semua perbicaraan jenayah boleh memeriksa balas seseorang saksi, misalannya berkenaan keterangan dengar cakap yang boleh diterima. Ia juga boleh dihadkan apabila membabitkan saksi-saksi tertentu,” katanya.

Beliau berkata Seksyen 61A Akta 670 adil memandangkan keadaan unik dalam kes-kes pemerdagangan manusia, kerana ia melibatkan mangsa warga asing yang dibawa masuk ke negara ini secara salah.

Tengku Maimun berkata penggunaan keterangan bertulis membolehkan mangsa pulang ke negara masing-masing dengan segera.

“Keseimbangan tercapai apabila membolehkan keterangan mangsa diambil tanpa dibiar menunggu perbicaraan selesai,” katanya.

Tengku Maimum juga berkata tertuduh masih boleh mengemukakan keterangan untuk menyangkal keterangan bertulis itu, serta boleh memeriksa balas semua saksi pendakwaan yang lain, untuk membuktikan kesnya.

Keputusan ini membolehkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen bermula.

K Kumaraendran, M Athimulan, Teh See Khoon, dan Shaarvin Raaj tampil selaku peguam mewakili pasangan terbabit, manakala Timbalan Pendakwa Raya Awam Yusaini Amer Abdul Karim, Nahra Dollah, dan Dhiya Syazwani Azyan Akhir di pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.