Menteri pertahanan ketuai majlis transisi tentera di Sudan

Menteri pertahanan ketuai majlis transisi tentera di Sudan

Sejak 19 Dis tahun lepas, Sudan menyaksikan tunjuk perasaan popular berhubung keadaan ekonomi yang semakin meleset dan kenaikan harga komoditi asas.

Ibn Auf mengumumkan penyingkiran presiden Sudan Omar al-Bashir dan kerajaannya. (Gambar Facebook)
KHARTOUM:
Menteri Pertahanan Sudan Awad Mohamed Ahmed Ibn Auf pada Khamis mengangkat sumpah sebagai ketua majlis transisi di Sudan, lapor agensi berita China Xinhua memetik stesen penyiar rasmi Sudan TV.

“Awad Mohamed Ahmed Ibn Auf mengangkat sumpah sebagai pengerusi Majlis Ketenteraan Transisi, manakala Kamal Abdul-Marouf Al-Mahi sebagai timbalannya,” menurut laporan itu.

Terdahulu, Ibn Auf mengumumkan penyingkiran presiden Sudan Omar al-Bashir dan kerajaannya.

Beliau turut mengisytiharkan perintah darurat selama 3 bulan dan perintah berkurung selama sebulan.

Menteri pertahanan itu berkata, sebuah majlis ketenteraan akan dibentuk untuk mentadbir negara dalam tempoh peralihan selama 2 tahun.

Beliau turut mengumumkan penggantungan perlembagaan sementara Republik Sudan dan penutupan ruang udara negara itu selama 24 jam bersama-sama laluan sempadan di seluruh Sudan sehingga diberitahu kelak.

Sejak 19 Dis tahun lepas, Sudan menyaksikan tunjuk perasaan popular terhadap keadaan ekonomi yang semakin meleset dan kenaikan harga komoditi asas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.