Harimau Asia bukan hanya ekonomi, kata ahli panel

Harimau Asia bukan hanya ekonomi, kata ahli panel

Usaha untuk menjadi sebuah negara Harimau Asia bukan hanya memerlukan pembangunan pesat, tetapi juga pertumbuhan kebudayaan tinggi.

Chandra Muzaffar berkata, Malaysia miskin nilai integriti, yang sepatutnya menjadi nilai teras di semua peringkat masyarakat.
SHAH ALAM:
Ahli panel dalam satu forum di Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia hari ini bercakap tentang kriteria yang diperlukan bagi meraih gelaran itu, selepas seorang ahli ekonomi berkata, Malaysia hanya layak digelar “harimau kecil”.

Pakar sains politik Chandra Muzaffar berkata, usaha untuk menjadi sebuah negara Harimau Asia bukan hanya memerlukan pembangunan dan pengindustrian pesat, tetapi juga pertumbuhan kebudayaan tinggi.

Beliau berkata, Malaysia miskin nilai integriti, yang sepatutnya menjadi nilai teras di semua peringkat masyarakat.

Katanya, kekurangan integriti yang dihadapi negara berpunca daripada sikap mengutamakan kedudukan dan kuasa, penyalahgunaan kekayaan dan kemewahan serta sikap individualistik yang berlebih-lebihan.

Aktivis anti-rasuah Anis Yusal Yusoff bersetuju dengan Chandra dan berkata, rakyat Malaysia kini obses dengan kepentingan diri sendiri.

Beliau berkata, Malaysia miskin integriti dan ini membawa kepada berleluasanya barah rasuah, justeru menegaskan tentang kepentingan nilai tersebut disemai dalam kalangan generasi muda.

Dalam pada itu, ahli sejarah, Ahmad Murad Merican berkata, wujud masalah dalam cara bagaimana sejarah negara ditafsirkan, iaitu dengan hanya mengetengahkan sudut tertentu, selain mengabaikan sesetengah fakta lain.

Beliau menggesa agar sejarah Malaysia dilihat dari perspektif nasional, bukannya daripada asas kaum.

“Sejarah adalah masa depan kita” katanya, sekali gus menekankan kepentingan pendidikan awam dalam memperluas kefahaman rakyat mengenai sejarah bersama Malaysia.

Novelis Siti Zainon Ismail berkata, rakyat Malaysia kini seolah-olah menyamakan kebudayaan dengan persembahan pentas, lalu menyebabkan ia tidak lagi mendapat tempat dalam pendidikan kebangsaan.

Mengambil contoh Indonesia dan Thailand, beliau berkata, kebudayaan mestilah dijadikan sebahagian daripada pendidikan kebangsaan, hatta di peringkat tadika sekali pun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.