Wartawan veteran kongsi kisah penemuan kubur Wang Kelian

Wartawan veteran kongsi kisah penemuan kubur Wang Kelian

Arulldas Sinnappan berkata mangsa pemerdagangan manusia tidak mendapat penghormatan selepas kematian mereka, sama seperti penghinaan yang diterima semasa hidup.

Keadaan kem dan kubur beramai-ramai mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis di sempadan Malaysia-Thailand (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Wartawan veteran Arulldas Sinnappan yang mendedahkan penemuan kubur beramai-ramai di Wang Kelian pada 2015, tidak asing lagi dengan kisah ngeri pemerdagangan manusia.

Siasatannya mengenai kes itu membawa kepada penemuan kem berdekatan sempadan Thailand, walaupun beliau menganggap penemuan kubur tersebut kepada siri kisah ngeri.

Ketika beliau mula menulis mengenai pemerdagangan manusia, katanya, kesan siksaan yang dialami mangsa mustahil untuk dibiarkan.

“Terdapat 24 mayat dicampak di Pulau Pinang, di ladang sawit, sungai dan di kawasan kubur. 24 mayat,” katanya kepada FMT.

Wartawan veteran, Arulldas Sinnappan.

Arulldas berkata, mangsa yang terlibat tidak mendapat sebarang penghormatan selepas kematian mereka, sama seperti penghinaan yang mereka terima semasa hidup.

Mayat mereka ditelanjangkan, dibungkus dengan cadar atau selimut dan dikuburkan tanpa upacara pengkebumian.

Setelah yakin kematian mangsa akibat pemerdagangan manusia, Arulldas memutuskan untuk pergi ke sempadan Malaysia-Thailand di utara semenanjung di mana sindiket pemerdagangan manusia beroperasi.

Usahanya untuk mendapatkan maklumat membawanya ke kawasan kampung di mana menemubual penduduk dengan harapan mendapat maklumat berkaitan siasatannya.

Beliau juga pergi ke estet, kilang dan kedai-kedai di mana beliau menemubual pekerja Rohingya.

Pendedahan pertamanya pada Disember 2014 ketika beliau singgah di sebuah kedai kopi di Jitra. Di sana dia terdengar perbincangan penduduk di meja sebelah mengenai kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Selepas mendapatkan maklumat, beliau bersama jurukamera memulakan siri pencarian kem di kawasan berbukit. Enam kali mereka meredah hutan dan gagal menemui apa-apa bukti.

Arulldas menyangka beliau sudah menemui jalan buntu dalam siasatannya, hinggalah terbuka satu peluang secara kebetulan.

Ketika menghadiri sidang media di Hat Yai pada tahun seterusnya, beliau bertemu dengan 2 lelaki Thailand yang mendakwa mereka tahu di mana terletaknya kem mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Dengan bantuan 2 lelaki itu, Arulldas sekali lagi pergi ke kawasan bukit tersebut, kali ini memasukinya melalui Thailand, arah yang diketahui lelaki tersebut.

Beliau akhirnya sampai ke kem tersebut, dan kisah ngeri mula didedahkan.

Aruldas menulis secara meluas mengenai penderitaan pendatang yang membuat perjalanan sukar ke Malaysia tetapi berakhir dengan kehidupan yang teruk dalam tawanan sindiket pemerdagangan manusia.

Ditanya apakah beliau pernah berdepan ancaman atau kesan susulan pendedahannya mengenai kem di Wang Kelian, Arulldas berkata, perkara seperti itu tidak berlaku.

Bagaimanapun, katanya, beliau tetap berhati-hati walaupun berada di negara sendiri dan sentiasa berwaspada semasa berada di Thailand.

“Saya tahu ia kerja berisiko dan ia berbahaya apabila menulis mengenai cerita seperti ini,” katanya.

Tetapi ia juga mustahak untuk didedahkan, dan beliau tidak pernah menyesal kerana bertindak demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.