Perpustakaan negara dakwa industri buku merosot sejak 4 tahun lalu

Perpustakaan negara dakwa industri buku merosot sejak 4 tahun lalu

Ia berlaku bukan disebabkan tiada pembaca tetapi peralihan daripada bahan bacaan fizikal kepada digital.

PNM bertanggungjawab menyediakan bahan bacaan yang baik kepada rakyat, terutama pelawatnya.
PETALING JAYA:
Perkembangan industri buku di Malaysia kian merosot sejak 4 tahun lalu akibat perubahan trend pembacaan dalam kalangan rakyat.

Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad berkata perkembangan industri buku menurun bukan disebabkan tiada pembaca.

“Tetapi peralihan daripada bahan bacaan fizikal kepada digital.

“Dan tidak dinafikan, buku fizikal masih menjadi kegemaran ramai,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.

Beliau berkata, sekiranya tiada usaha dilakukan untuk membaiki keadaan ini, trend industri buku tempatan tidak akan berkembang lagi.

“Kajian yang dilakukan oleh PNM mendapati kanak-kanak boleh membaca pada usia 2 tahun.

“Kalau ada gerakan membaca secara besar-besaran berlaku, mungkin trendnya akan menaik semula,” katanya.

Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Nafisah Ahmad.

Oleh itu, Nafisah berkata, sesebuah keluarga perlu memainkan peranan penting dalam memupuk tabiat membaca dalam kalangan ahlinya.

“Kerana peranan sekolah dan perpustakaan datang kemudian, keluarga yang pertama untuk mainkan peranan.”

Awal tahun ini, media melaporkan industri buku negara tidak difahami pembuat dasar menyebabkan ia ketinggalan dan dilihat sebagai isu sampingan.

Hal ini menjadi semakin terhimpit dengan perkembangan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Kualiti buku

Nafisah menambah, terdapat kekurangan dalam penghasilan buku di negara ini, antara yang paling ketara ialah kualiti buku yang dihasilkan masih belum memuaskan.

Katanya, pengusaha industri buku mesti menjaga kualiti penulisan sebelum diterbitkan.

“Perkara itu penting sebelum pihak perpustakaan negara membeli buku-buku yang dihasilkan dan dipamerkan kepada pelawat.

“PNM bertanggungjawab untuk sediakan bahan bacaan yang baik kepada rakyat, khususnya para pelawat kami,” katanya.

Beliau berkata, masih terdapat penulis buku yang menggunakan tatabahasa dan perbendaharaan kata yang tidak tepat.

“Pertama, bahasa kena betul kerana kami (PNM) akan membuat semakan pada setiap buku yang dibeli.

“Bukan itu sahaja, kualiti bahasa juga penentu kepada kualiti penulis, buku yang dihasilkan dan pasukan editornya,” jelasnya.

Tambahnya, pihak pencetak juga perlu memastikan kualiti imej dan grafik yang digunakan di dalam penghasilan buku ilustrasi untuk kanak-kanak.

“Pastikan kualiti gambar dijaga. Gambar mesti jelas dan tidak menyakitkan mata apabila dibaca,” katanya.

Jangan putus asa

Nafisah turut menasihati penulis supaya tidak berputus asa dan terus berkarya.

“Teruslah hasilkan buku. Buku tidak akan pupus. Tapi buku apa yang ingin kita sumbangkan kepada rakyat?

“Ingatlah, setiap hasil yang kita usahakan adalah cerminan kegemilangan penerbit dan penulis itu sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.