Dapatkah ringgit ‘kejar’ dolar Singapura?

Dapatkah ringgit ‘kejar’ dolar Singapura?

Dua penganalisis memberi pandangan mengenai faktor di sebalik kelemahan ringgit dan prospek masa depannya.

(Gambar Pinterest)
PETALING JAYA:
Dolar Singapura mencecah paras tertinggi berbanding ringgit dua minggu lepas, ketika Malaysia terus mengejar negara jiran itu dalam perjalanan pemulihan pasca wabak.

Sementara Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata ringgit yang lemah akan menarik rakyat Singapura untuk datang ke Malaysia dan berbelanja, ketua pembangkang negeri Liew Chin Tong berkata, wujud keperluan bagi rancangan jangka panjang untuk memastikan rakyat Malaysia kekal dalam negara.

Walaupun nilai ringgit berbanding dolar Singapura meningkat sedikit pada Khamis, ramai yang mungkin tertanya-tanya sama ada ia dapat menutup sepenuhnya jurang itu.

FMT bercakap dengan Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway dan Ahamed Kameel Mydin Meera daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengenai faktor di sebalik kelemahan ringgit dan prospek masa depannya.

Apa yang menyebabkan mata wang merosot dan mengukuh?

Yeah berkata, kadar tukaran sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan dalam keadaan ekonomi dan kewangan relatif, sentimen pasaran dan keyakinan pelabur.

Tanpa mengira turun naik jangka pendek, beliau berkata, trend kadar tukaran asas mencerminkan kekuatan asas ekonomi, terutamanya pertumbuhan, daya saing dan daya pengeluarannya.

Kameel berkata, kadar tukaran, seperti harga komoditi, ditentukan terutamanya oleh permintaan dan bekalan, yang seterusnya dipengaruhi oleh import dan eksport barangan dan perkhidmatan, serta permintaan untuk instrumen dalam pasaran modal.

“Ia juga ditentukan oleh peluang arbitraj yang mungkin wujud disebabkan perubahan mendadak dalam permintaan atau bekalan untuk mana-mana mata wang lain. Spekulator dan manipulator mata wang juga mewujudkan permintaan atau bekalan buatan,” katanya.

“Eksport dan import secara semula jadi mempengaruhi kadar tukaran ringgit. Dengan kenaikan harga minyak sawit dan petroleum, ini sememangnya boleh menyebabkan kejatuhan dalam permintaan bagi komoditi ini, sekali gus menyebabkan ringgit turut merosot.”

Apakah kesan ringgit yang lemah terhadap rakyat?

Ringgit yang lebih lemah bermakna import akan menjadi lebih mahal dan membawa kepada inflasi import lebih tinggi, menurut Yeah, manakala mata wang tempatan yang kukuh memberi kuasa membeli yang lebih tinggi apabila berada di luar negara.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia mempunyai bil import makanan yang tinggi, yang akan terus meningkat dengan keadaan ringgit yang lemah.

“Walaupun ringgit yang lemah buat sementara waktu bermaksud warga asing dapat memperoleh aset Malaysia dengan lebih murah, ringgit yang terus merosot akan menjadi penghalang buat pelabur asing kerana pendapatan yang dihantar pulang akan kehilangan nilai apabila ditukar.”

Mengapa prestasi dolar Singapura begitu baik?

Yeah berkata, mata wang Singapura mendapat manfaat daripada gabungan status tempat selamat, persekitaran bebas risiko di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat, dan pengetatan oleh pihak berkuasa monetari negara itu yang menggunakan kadar tukaran sebagai alat.

Bagi “mata wang tempat selamat” seperti dolar Singapura, beliau berkata, nilainya dapat terus mengukuh ekoran peningkatan perang Rusia-Ukraine, peningkatan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi, serta perbezaan dasar antara negara maju dan negara membangun.

“Dalam keadaan sedemikian, pasaran mata wang dijangka kekal sangat tidak menentu. Bukan sesuatu yang luar biasa bagi mata wang untuk berubah sebanyak 10% hingga 20% dalam tempoh yang tidak menentu berbanding perubahan tahunan 2-3% dalam keadaan biasa.”

Dapatkah ringgit menutup jurang itu?

Kata Yeoh, untuk menutup jurang itu, ekonomi Malaysia mesti berkembang pada kadar yang lebih cepat berbanding negara jirannya sambil mencapai pertumbuhan daya pengeluaran lebih tinggi.

Perubahan ini hanya boleh dicapai melalui transformasi industri, penaiktarafan teknologi dan peralihan kepada aktiviti bernilai tinggi merentasi semua sektor ekonomi.

“Tetapi sukar bagi ringgit untuk mencapai pariti dengan dolar Singapura memandangkan jurang pendapatan per kapita yang luas, ekonominya yang diurus dengan baik peranannya sebagai pusat antarabangsa untuk pelbagai aktiviti, dan statusnya sebagai negara maju.”

Kameel percaya ringgit “tidak akan kembali mencapai pariti” dengan dolar Singapura, melainkan dunia kembali kepada sesuatu standard emas.

Walaupun ini tidak mustahil, tidak jelas sama ada ia boleh menjadi kenyataan dalam masa terdekat, katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa China melancarkan petro-yuan yang disokong emas pada 2017, manakala Rusia baru-baru ini menjadikan rublenya boleh ditukar kepada emas pada 5,000 rubel setiap 1g, di tengah-tengah sekatan ekonomi.

“Negara-negara makin menyedari bahawa cara untuk mendapatkan kestabilan dalam kadar tukaran adalah dengan menambat mata wang kepada emas. Jika Malaysia terbabit dalam pengaturan ini suatu hari nanti, ia akan menyaksikan ringgit setanding dolar Singapura dalam rejim kadar tukaran tetap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.