Skor Pisa merosot, jangan ‘tutup mata’, Lim beritahu kerajaan

Skor Pisa merosot, jangan ‘tutup mata’, Lim beritahu kerajaan

Pengerusi DAP itu berkata isu standard pendidikan yang lemah tidak boleh diketepikan dan dianggap sebagai masalah dihadapi di seluruh dunia.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata Kementerian Pendidikan tidak boleh menutup laporan membimbangkan penurunan prestasi pelajar yang mengambil ujian Pisa. Turut bersama beliau ialah Adun Air Itam Joseph Ng.
GEORGE TOWN:
Pegawai Kementerian Pendidikan tidak seharusnya ‘menutup mata’ terhadap kemerosotan dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa), kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata kementerian perlu berdepan realiti terhadap standard pendidikan yang lemah dan bukannya meremehkan perkara itu.

Malaysia menunjukkan kemerosotan yang ketara bagi ketiga-tiga domain dalam Pisa 2022 iaitu literasi bacaan, literasi matematik dan literasi saintifik.

Lim mengulas kenyataan Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan bahawa kejatuhan skor Pisa adalah masalah di seluruh dunia dan “bukan unik untuk Malaysia”.

“Saya tidak bersetuju dengan ketua pengarah,” kata Lim.

“Kita harus mengakui kita telah melakukan lebih teruk (berbanding sebelum ini). Jangan cuba menutup penurunan prestasi yang membimbangkan.

“Jika anda tidak meletakkan pendidikan kita setanding dengan dunia, maka kita tidak melengkapkan pelajar untuk menjadi yang terbaik. Bagaimanakah anak-anak kita boleh menjadi lebih baik?

“Janganlah kita membina generasi yang tidak boleh mengira. Kementerian tidak sepatutnya ‘tutup mata’,” katanya kepada pemberita di pusat khidmatnya di Air Itam.

Lim berkata dengan sebahagian besar peruntukan untuk pendidikan, terdapat keperluan mendesak untuk menangani isu terbabit.

Beliau menuntut gaji yang lebih baik untuk guru, sambil menunjukkan keperluan untuk menangani kekurangan “teruk” guru bahasa dan Sains.

“Ini adalah masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu. Mari kita bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi pertama, kita mesti terima kita telah merosot (dalam standard pendidikan),” katanya.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Rashid berkata beliau menerima banyak aduan daripada guru siswazah yang tidak mendapat penempatan di sekolah. Beliau berkata perkara ini perlu dikaji dengan segera.

Skor Pisa terkini menunjukkan bahawa pelajar Malaysia berusia 15 tahun mencatat skor 409 dalam Matematik (turun daripada 440 sebelumnya) dan 416 dalam Sains (turun daripada 438 pada 2018). Dalam bacaan, rakyat Malaysia mendapat markah 388, turun daripada 415.

Hanya 1.2% pelajar cemerlang dalam Matematik dan hanya 0.5% menguasai Sains. Kurang daripada separuh, hanya 42% pandai membaca.

Kajian Pisa berfungsi untuk mengukur kesediaan kanak-kanak berumur 15 tahun yang menerima pendidikan formal untuk menyesuaikan diri dengan lancar dengan masyarakat.

Pentaksiran itu berlangsung dari 17 April hingga 31 Mei 2022 di 199 sekolah, termasuk sekolah swasta.

Singapura menduduki tempat teratas dalam ketiga-tiga literasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.