Status rahsia laporan Majlis Penasihat Kerajaan dikekalkan

Status rahsia laporan Majlis Penasihat Kerajaan dikekalkan

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, laporan itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana mengandungi maklumat sulit.

Daim Zainuddin (duduk, tengah) bersama ahli CEP lain, Zeti Akhtar Aziz (duduk, kanan), Oh Siew Nam yang mewakili Robert Kuok (berdiri, 2 dari kanan) dan ketua sekretariat CEP, Muhammad Abdul Khalid (duduk, kiri) dalam sidang media di Menara Ilham, Ogos tahun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kekal di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana ia mengandungi maklumat sulit, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohamed Hanipa Maidin.

Katanya, laporan itu berada di tangan perdana menteri dan kerajaan tidak berhasrat mendedahkannya kepada umum.

“Ada yang tanya kenapa laporan itu di bawah OSA. Saya mahu tegaskan OSA diperlukan di mana-mana negara.

“Sebelum ini, kami marah bukan kerana OSA, tetapi kerana ia disalahgunakan untuk melindungi rasuah dan salah laku,” katanya menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat hari ini, jika kerajaan akan mendedahkan laporan itu supaya ia boleh dibahaskan orang ramai.

Hanipa berkata, Pakatan Harapan turut menentang penyalahgunaan undang-undang.

“Tetapi, sekarang kami mahu melindungi maklumat yang dianggap sulit,” katanya sambil menambah inilah perbezaan kerajaan PH dan Barisan Nasional.

Sebelum ini, ahli CEP, KS Jomo berkata, laporan itu tidak patut didedahkan kepada awam kerana ia mengandungi maklumat sensitif yang boleh disalahgunakan.

CEP turut dianggotai bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Petronas, Hassan Marican dan taikun, Robert Kuok.

CEP ditubuhkan 12 Mei tahun lalu, iaitu 2 hari selepas PH berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Pada 20 Ogos lalu, Daim mengumumkan CEP menyempurnakan mandat mereka dan akan menyerahkan cadangannya kepada perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad kemudian mengumumkan CEP tidak akan dibubarkan, walaupun genap 100 hari PH mentadbir kerana khidmat CEP masih diperlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.