
Menteri komunikasi itu berkata, dakwaan bahawa terdapat individu tertentu mempengaruhi keputusan kerajaan tidak benar sama sekali.
Semua perbincangan Jemaah Menteri diklasifikasikan sebagai rahsia dan tidak boleh didedahkan, tambahnya.
Beliau mengulas dakwaan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dalam sebuah episod audio siar baru-baru ini bahawa bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mempunyai pengaruh yang signifikan ke atas keputusan kerajaan.
“Langsung tidak ada (campur tangan pihak lain dalam keputusan kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program sambutan Merdeka di stesen LRT Pasar Seni hari ini, lapor Berita Harian.
“Saya hadir hampir setiap mesyuarat Jemaah Menteri. Keputusan dibuat adalah keputusan yang diputuskan dalam Jemaah Menteri. Tidak ada (campur tangan atau pengaruh) mana-mana pihak lain.”
Fahmi turut mengingatkan, sesiapa yang mendedahkan perbincangan Jemaah Menteri yang sulit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
“Sebenarnya perbincangan dalam Jemaah Menteri itu berstatus rahsia, rahsia besar … di mana sekiranya diketahui, OSA terpakai.
“Jadi sekiranya ada tuduhan oleh mana-mana pihak, boleh dibuat laporan polis dan pihak berkuasa akan ambil tindakan,” katanya.
Rafizi sebelum ini berkata, tanggapan bahawa wujudnya pengaruh luar dalam keputusan Jemaah Menteri merupakan sesuatu yang berbahaya dan perlu ditangani dengan baik.
Rafizi and Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan sebagai menteri selepas masing-masing tewas dalam saingan timbalan presiden dan naib presiden PKR sewaktu pemilihan parti pada Mei.
Rafizi ialah bekas menteri ekonomi, manakala Nik Nazmi sebelum ini memegang portfolio sumber asli dan kelestarian alam.