
Hakim Evrol Mariette Peters memutuskan permohonan itu tidak mengambil kira kebajikan kanak-kanak, sebaliknya bertujuan memenuhi agenda peribadi isteri.
“Ujian DNA tidak wajar dipandang ringan, terutama jika bukan diminta oleh kanak-kanak itu sendiri bagi menentukan siapa bapa kandungnya,” kata Peters dalam penghakiman setebal 46 muka surat.
Beliau berkata, undang-undang menegaskan hak kanak-kanak terhadap autonomi tubuh dan privasi tidak boleh diketepikan hanya untuk mengesahkan dakwaan kecurangan dalam prosiding rumah tangga.
Bagi menjaga kerahsiaan, identiti pasangan tersebut serta ‘COB’, iaitu ibu kepada kanak-kanak terbabit tidak didedahkan.
Peters berkata, isteri itu cuba membuktikan kewujudan hubungan sulit suaminya dengan COB secara tidak langsung – dengan membuktikan suaminya ialah bapa kandung kanak-kanak berkenaan.
Pasangan itu berkahwin pada 2007 dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Isteri berkenaan juga mempunyai dua anak daripada perkahwinan terdahulu. Namun, rumah tangga mereka mula retak pada 2020 akibat dakwaan curang dan tingkah laku tidak munasabah, sehingga suami keluar rumah dan memfailkan perceraian setahun kemudian.
Peters berkata, walaupun terbukti suami dan COB mempunyai hubungan sulit, isteri gagal mengemukakan fakta penting dalam dokumen mahkamah.
Malah, beliau dianggap ‘bertolak ansur sebahagiannya’ dengan hubungan itu kerana masih tinggal sebumbung dan menjalani kehidupan sebagai isteri.
Oleh itu, tuntutan ganti rugi terhadap COB ditolak.
Namun, Peters membenarkan isteri memperoleh 80% harta sepencarian, manakala suami hanya 20%.
“Peruntukan 20% itu mengambil kira bantuan suami dalam hal pentadbiran, selain hakikat isteri mendapat sedikit manfaat daripada gelaran ‘Datin Seri’ hasil penganugerahan ‘Dato’ Seri’ kepada suami.
“Jumlah ini sudah pun dianggap pemilikan yang munasabah memandangkan penglibatan suami yang sangat minimum dalam perkahwinan, kelakuannya serta kekurangan kredibiliti,” katanya.
Hakim turut menegaskan jumlah lebih besar kepada suami akan membawa kepada ketidakadilan.
Mahkamah memberikan hak penjagaan bersama terhadap anak kandung pasangan itu, tetapi penjagaan tunggal diberikan kepada isteri. Suami diarahkan membayar nafkah anak RM3,000 sebulan, sementara tuntutan nafkah isteri sebanyak RM5,000 ditolak.