Pakar jelaskan kenapa Sungai Klang seperti ‘teh tarik’

Pakar jelaskan kenapa Sungai Klang seperti ‘teh tarik’

Pakar yang mengkaji kualiti dan pemodelan air berkata usaha menangani pencemaran oleh kerajaan setakat ini tidak berkesan.

Projek River of Life dilancarkan pada 2012 untuk membersihkan dan mencantikkan Sungai Klang sepanjang 10km.
SHAH ALAM:
Pakar kualiti air menggesa kerajaan mempertimbangkan strategi baru untuk membersihkan Sungai Klang, yang terkenal dengan jolokan “teh tarik”, mengatakan usaha menangani pencemaran setakat ini tidak berkesan.

Zaki Zainudin, yang mengkaji kualiti dan pemodelan air selama lebih sedekad, memberi contoh projek River of Life yang dilancarkan pada 2012 untuk membersihkan dan mencantikkan Sungai Klang sepanjang 10km.

Projek RM4.4 bilion itu termasuk pembersihan sungai, perancangan dan pengindahan sungai, serta pembangunan sungai. RM3.4 bilion diperuntukkan untuk operasi pembersihan dan baki RM1 bilion untuk landskap.

“Apabila kerajaan mengumumkan projek itu, kami agak ragu-ragu kerana sasarannya adalah untuk mencapai standard sungai Kelas IIB di bawah Indeks Kualiti Air Negara (NWQS),” katanya.

Kelas IIB merujuk kepada air yang sesuai untuk kegunaan riadah dan selamat jika bersentuhan dengan kulit.

Tetapi ia kemudian dilaporkan sasaran itu ditukar kepada Kelas II, yang tidak termasuk kriteria bersentuhan dengan kulit.

“Ini mengikuti Indeks Kualiti Air, yang tidak tepat seperti NWQS dan diterjemahkan dalam sasaran pencapaian yang berbeza,” tambah Zaki.

Faktor lain yang merumitkan usaha pemulihan Sungai Klang adalah tahap bakteria koliform di dalam air, katanya.

Sebelum pelancaran projek itu, katanya, sungai itu mempunyai bacaan kandungan koliform iaitu 50,000, meletakkannya dalam kategori Kelas IV dan V.

Bagi sungai Kelas IIB, hadnya ialah 400.

Zaki Zainudin mengumpul sampel air semasa membuat kajian di lapangan.

Zaki berkata kerajaan terlalu bercita-cita tinggi untuk mencapai sasaran walaupun mengalami kejatuhan besar tahap koliform.

Beliau juga menyatakan apa yang beliau sebut sebagai “tiada definisi jelas” mengenai bidang kuasa pihak berkuasa persekutuan dan negeri.

“Sekiranya kerajaan persekutuan dan negeri dapat mewujudkan pemetaan sungai yang komprehensif, dan siapa yang bertanggungjawab memantau aktiviti di sungai masing-masing, ia dapat menangani pencemaran di sana,” katanya.

Demikian pula, katanya, tidak ada peraturan mengenai jumlah sisa buangan yang boleh dilepaskan ke sungai.

“Sama ada sungai besar atau kecil, jumlah sisa buangan yang dilepaskan adalah sama.”

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) juga menggesa pihak berkuasa tempatan untuk memainkan peranan mereka memantau sisa buangan yang dilepaskan industri.

Mengulas berita terkini tentang pencemaran kimia di sebahagian laluan Sungai Klang, Pengarah Eksekutif MNS IS Shanmugaraj berkata sungai itu hanya menampung “sampah” yang banyak.

“Sungai ini hanya boleh menghanyutkan sejumlah sisa tertentu. Apabila ia mencapai kapasiti tertentu, ia tersumbat.

“Semua ini kembali kepada majlis tempatan kerana tugas mereka memantau aktiviti di sepanjang sungai,” katanya.

Penemuan pencemaran yang dipercayai sisa kimia di Sungai Klang itu dijumpai tidak lama selepas beribu-ribu penduduk terjejas akibat pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang, Johor.

Gas daripada pencemaran toksik itu memaksa penutupan 111 sekolah di daerah itu, dengan beratus-ratus mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan klinik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.