
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebarang maklumat berkaitan kes Adib akan digunakan sebagai bahan bukti dalam prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Apabila mereka (petugas perubatan) menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan maklumat, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi tidak benar, seterusnya mengganggu siasatan kes tersebut.
“Gunakan platform yang betul dengan tampil sebagai saksi pada prosiding inkues kematian Adib supaya maklumat yang diperolehi itu boleh dikenal pasti sama ada mempunyai kesahihan atau sebaliknya,” katanya selepas merasmikan Gotong-Royong Mega Hapuskan Denggi Di Taman Rapat Setia Baru hari ini.
Lee mengulas kenyataan seorang jururawat yang tersebar di media sosial mengatakan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi membuat kenyataan tidak tepat dalam inkues menentukan punca kematian Adib yang dijalankan di Mahkamah Koroner Shah Alam.
Jumaat lalu, Hafizam yang merupakan saksi ke-24 inkues berkata, corak kecederaan Adib tidak sepadan impak dipukul kerana kecederaan rongga dadanya (toraks) bukan kecederaan yang biasa dilihat akibat dipukul objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.
Jururawat itu yang mendakwa merawat Adib menulis beberapa komen balas di Facebook menyatakan kecederaan anggota bomba itu disebabkan “violence” (keganasan).
Bagaimanapun, jururawat itu memohon maaf dan membetulkan kenyataannya semalam, serta berharap pihak yang menularkan dakwaannya memadamkan kenyataan itu.
Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.
Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.