
“Ubat (merawat kanser) mahal dan harga perlu diturunkan. Kerajaan dan sektor swasta harus membincangkan harga adil untuk sektor swasta dan pengguna. United Kingdom dan Australia sudah melakukannya,” katanya kepada FMT.
Kenyataan Santiago itu selepas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mengkaji cara mengurangkan kos rawatan kanser di hospital swasta.
Santiago berkata, seorang dalam 10 lelaki dan seorang dalam setiap 9 wanita di Malaysia disahkan menghidap kanser pada 2011.
“Itu rekod dari 2011, keadaan sekarang mungkin lebih teruk.”
Jumlah kos bagi sesetengah rawatan kanser berharga RM500,000 hingga RM750,000 bergantung kepada ubat yang diperlukan.
Santiago berkata, pesakit mungkin tidak boleh bekerja selepas tempoh tertentu.
“Dan mereka berputus asa kerana sesetengah pil sangat mahal. Kadangkala orang membuat pendanaan awam, tetapi hanya sejumlah wang yang dapat dikumpul,” katanya merujuk kes seorang wanita menghidap kanser payudara yang memerlukan 80 pil dengan setiap satu berharga RM500.
Katanya, mereka yang mendapatkan rawatan di hospital swasta mewah menyedari kos itu dan mampu membayarnya, tetapi majoriti rakyat Malaysia pergi ke hospital swasta yang mengenakan kos sederhana dengan wang insurans terhad.
Santiago menggesa Kementerian Kesihatan menubuhkan sistem simpanan pusat dengan setiap kes kanser dilaporkan segera kepada kementerian itu, seperti kes positif HIV.
“Dengan cara ini, kita mempuntai statistik terkini berbanding hanya bergantung kepada maklumat lama.”
Tabung Kanser Kebangsaan yang dibuka kepada sumbangan awam perlu ditubuhkan, susulan peningkatkan kes kanser. Katanya, kerajaan dan sektor swasta boleh memulakan tabung itu.
Kini, kanser ialah punca kematian ke-4 di Malaysia. Dalam satu laporan baru-baru ini, Kementerian Kesihatan berkata, 12.6% kadar kematian di hospital kerajaan berpunca daripada kanser dan 26.7% di hospital swasta.
Menurut laporan itu, kira-kira 37,000 kes kanser baru didiagnos setiap tahun, dengan angka itu dijangka meningkat kepada 55,000 kes setiap tahun menjelang 2030.