Zuraida gesa individu ada maklumat tampil berhubung inkues kematian Adib

Zuraida gesa individu ada maklumat tampil berhubung inkues kematian Adib

Sebelum ini tular dakwaan seorang jururawat bahawa kenyataan pakar forensik HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi berhubung kematian Adib tidak tepat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
ALOR SETAR:
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia susulan kejadian rusuhan kuil di Subang Jaya pada November lepas, diminta tampil untuk menjadi antara saksi pada prosiding inkues kematiannya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, segala maklumat perlu disampaikan menerusi saluran yang betul agar tidak mendatangkan salah anggapan masyarakat sekiranya disebarkan secara tidak tepat.

“Kalau ada maklumat, datang kepada kita. Nanti kita akan maklumkan kepada Mahkamah Koroner supaya mereka boleh jadi saksi untuk memberi keterangan pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zuraida membuat kenyataan itu susulan tularnya dakwaan seorang jururawat kononnya kenyataan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam Hasmi tidak tepat.

Semalam, Dr Ahmad Hafizam yang merupakan saksi ke-24 berpandangan corak kecederaan dialami Muhammad Adib tidak padan dengan akibat dipukul berikutan kecederaan pada rongga dada (toraks) bukan seperti biasa dialami seseorang dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.

Susulan itu, seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib menulis beberapa komen balas di laman Facebook menyatakan bahawa kecederaan dialami anggota bomba itu adalah disebabkan oleh ‘violence’ (keganasan).

Bagaimanapun hari ini jururawat terbabit membuat permohonan maaf dan membetulkan kenyataannya serta berharap pihak yang menularkan dakwaannya supaya memadamkan kenyataan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.