Kebakaran kereta mufti Perlis tiada unsur keganasan, kata polis

Kebakaran kereta mufti Perlis tiada unsur keganasan, kata polis

Polis sedang menjejaki 2 suspek terbabit dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Anggota Jabatan Forensik polis bersama penyiasat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat menyiasat punca kebakaran Honda Accord yang digunakan Mohd Asri Zainul Abidin, semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis hari ini menolak wujud unsur keganasan dalam tindakan 2 individu membakar kereta rasmi Mohd Asri Zainul Abidin seperti didakwa mufti Perlis itu.

“Memang nampak cara pelaku bersifat ganas, tetapi ia hanya kes khianat biasa,” kata Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata, polis sedang menjejaki 2 suspek terbabit dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

“Mereka sedang bersembunyi,” katanya tanpa membuat penjelasan lanjut.

Beliau mengulas kenyataan Asri di Facebook hari ini yang menyifatkan kejadian itu ialah “perbuatan pengganas yang boleh mengancam nyawa”.

“Marilah kita berdoa agar 2 individu yang disebutkan ketua polis Perlis yang dirakam CCTV itu segera ditangkap,” tulis Asri di Facebooknya.

Semalam, Mushar dilaporkan berkata, 2 suspek menaiki motosikal dikesan memasuki kawasan perumahan itu oleh rakaman kamera litar tertutup jiran Asri pada 5.12 pagi.

Katanya, 2 individu itu turut dikesan membeli petrol menggunakan tong plastik di stesen minyak berdekatan pada 3.30 pagi menggunakan kereta bernombor pendaftaran palsu.

Susulan itu, bahagian enjin kereta rasmi Asri jenis Honda Accord terbakar secara keseluruhan, manakala cermin depan dan belakang turut pecah.

Kejadian itu disedari ahli keluarga Asri ketika mereka bersiap sedia menunaikan solat subuh kira-kira 6 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.