Tiada tanah kerajaan di Cameron Highlands ‘dicuri’, kata PM

Tiada tanah kerajaan di Cameron Highlands ‘dicuri’, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, Operasi Gading mendapati 5,580 ekar tanah kerajaan digunakan untuk pertanian secara haram, tetapi 88% daripadanya sudah dikembalikan.

Mahathir Mohamad berkata, notis dikeluarkan kepada 23 penerokaan tanah kerajaan izin dari Disember 2017 hingga September 2018.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada tanah kerajaan di Cameron Highlands “dicuri” warga asing dan 88% daripada tanah yang diceroboh oleh peneroka atau pekebun haram sudah dikembalikan.

Perdana menteri berkata Operasi Gading yang dijalankan sejak akhir 2014 hingga Disember tahun lalu mendapati 5,580 ekar tanah kerajaan diceroboh oleh peneroka atau pekebun haram.

Beliau dalam jawapan bertulis kepada Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata, 4,887 ekar (88%) tanah sudah dikembalikan kepada kerajaan sehingga kini.

Mahathir berkata, tindakan sudah diambil terhadap pihak terbabit, dengan 85 kertas siasatan dibuka dan 71 kes disiasat.

Katanya, 14 daripada kes itu dibawa ke mahkamah dan 13 tertuduh disabitkan kesalahan, manakala seorang lagi dibebaskan.

“Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands juga baru-baru ini telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan dari Jun hingga Ogos 2018 ke atas 11 lokasi penerokaan tanah kerajaan tanpa izin termasuk tindakan memusnahkan tanaman dan struktur kekal.

“Begitu juga tindakan memberi notis dari Disember 2017 hingga September 2018 telah dikeluarkan kepada 23 penerokaan tanah kerajaan tanpa izin.”

Beliau berkata, Operasi Gading terbaru pada Februari lalu menyaksikan penguat kuasa membersihkan 4 kebun sayur haram.

Katanya, semua 390 operasi dilakukan di bawah Operasi Gading dengan 4,794 orang diperiksa dan 1,962 pendatang tanpa izin ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.