Bekas PM Bangladesh, anak saudara dipenjara kes peruntukan tanah kerajaan

Bekas PM Bangladesh, anak saudara dipenjara kes peruntukan tanah kerajaan

Anak saudara Sheikh Hasina, Ahli Parlimen British Tulip Siddiq, dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Bekas PM Bangladesh Sheikh Hasina sebelum ini dijatuhi hukuman mati atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan. (Gambar AFP)
DHAKA:
Sebuah mahkamah di Dhaka pada Ahad menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas perdana menteri Sheikh Hasina, kakaknya Sheikh Rehana, serta anak saudara mereka yang juga Ahli Parlimen British Tulip Siddiq, selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan peruntukan plot kerajaan di kawasan Purbachal, ibu negara.

Menurut United News of Bangladesh (UNB), Hakim Rabiul Alam dari Mahkamah Khas Dhaka-4 membacakan keputusan itu.

Sheikh Hasina, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan, dikenakan hukuman penjara lima tahun, manakala Rehana dihukum penjara tujuh tahun dan Tulip Siddiq dua tahun.

Mahkamah turut mengenakan denda setiap seorang Tk 1 lakh dengan tambahan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Selain itu, 14 lagi tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta denda.

Menurut keterangan kes, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Salahuddin memfailkan kes itu pada 13 Jan dengan menuduh Sheikh Rehana mendapatkan sebidang plot di Purbachal New Town secara tidak sah melalui penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan prosedur.

Seramai 17 individu, termasuk Sheikh Hasina, Sheikh Rehana dan Tulip Siddiq, dinamakan sebagai tertuduh dalam kes itu.

Pada 18 Nov, mahkamah selesai memeriksa saksi dan merakam keterangan daripada 32 individu.

Pada 31 Julai, mahkamah membacakan tuduhan terhadap para tertuduh.

Kes ini merupakan sebahagian daripada enam kes berkaitan, dengan tiga daripadanya dijadualkan terima keputusan pada 27 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.