Persatuan penyelidik gesa kaji semula pelupusan sisa kimia berjadual

Persatuan penyelidik gesa kaji semula pelupusan sisa kimia berjadual

Pihak berkuasa ketika ini hanya memantau sisa berbahaya yang berada dalam jadual, sedangkan semua sisa berbahaya perlu diberikan perhatian.

Pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang menyebabkan ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persatuan penyelidik menggesa kerajaan mengkaji semula pelupusan sisa kimia berjadual kerana ada bahan buangan berbahaya yang tidak dipantau.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) S Piarapakaran berkata, pihak berkuasa ketika ini hanya memantau sisa berbahaya yang berada dalam jadual, sedangkan semua sisa berbahaya perlu diberikan perhatian.

“Sisa bahaya seperti sisa nuklear tidak dipantau langsung sebabnya tidak berada dalam sisa berjadual, jadi bila berlaku kes Lynas, pihak bertanggungjawab lepas tangan begitu sahaja.

“Sepatutnya kena ambil tanggungjawab juga kerana ia melibatkan alam sekitar, mentaliti ini perlu diperbetulkan,” katanya kepada FMT.

Piarapakaran juga mendakwa penguatkuasaan terhadap syarikat yang dilesenkan untuk membuang sisa kimia masih berada di tahap lemah.

“Kalau ada bahan kimia yang tidak direkodkan syarikat, apakah ada pemantauan khusus? Kita masih tidak tahu. Ada kelompongan dari segi bagaimana penguatkuasaan dibuat terhadap pembersihan sisa kimia,” katanya.

Beliau menambah, satu peruntukan tambahan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dibuat bagi memastikan pesalah pencemaran alam sekitar dihukum dengan sewajarnya.

“Jika pesalah melakukan pembuangan sisa kimia dan menjejaskan mana-mana individu dari segi kehidupan harian, perniagaan dan kegiatan ekonomi, mereka sepatutnya boleh tuntut ganti rugi.

“Bila berlaku pencemaran, ia beri kesan kepada masyarakat, apabila mereka tidak dapat pendapatan, siapa yang bayar ganti rugi? Ini perlukan perhatian,” katanya.

Piarapakaran berharap Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersikap lebih profesional dalam apa jua pencemaran yang berlaku pada masa akan datang.

“Kes Sungai Kim Kim boleh ditangani dengan lebih baik sekiranya mereka memindahkan penduduk yang terlibat di Pasir Gudang terlebih dahulu, penguatkuasaan perlu lebih proaktif supaya keselamatan masyarakat terjaga dan ini perlu dijadikan pengajaran kepada semua.”

Sebelum ini dilaporkan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim menyebabkan ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak.

Proses pembersihan Sungai Kim Kim sepanjang 1.5km dijalankan sejak 13 Mac lalu melibatkan pelbagai pihak, termasuk 3 kontraktor yang dilantik serta pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Setakat ini, sebanyak 900 metrik tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 metrik tan air tercemar dikumpul oleh kontraktor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.