
Tegasnya setiap transaksi pelupusan aset dilaksanakan penuh ketelusan, mematuhi prinsip tatakelola tadbir urus korporat baik dan diaudit Jabatan Audit Negara selaras prinsip pengurusan bertanggungjawab.
“Sebarang dakwaan menyatakan pelupusan aset ini dilakukan di bawah nilai pasaran semasa adalah tidak berasas,” katanya menurut Bernama.
Menurutnya, tanah Broga juga bukan aset strategik untuk pembangunan kerana ia tidak boleh dimajukan, termasuk kawasan hutan simpan, tanah Tenaga Nasional Berhad (TNB), kawasan cerun kritikal tahap tiga dan empat serta kolam membataskan potensi pembangunan.
Katanya, ia turut berdepan isu pencerobohan dan kewujudan struktur binaan haram.
“Oleh itu, tidak wajar menganggap tanah Broga sebagai aset strategik, memandangkan pelbagai kekangan fizikal dan perundangan yang membelenggu tanah tersebut.”
Baru-baru ini, Adun Hulu Klang Mohamed Azmin Ali dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor mendakwa PKNS berdepan kerugian besar selepas menjual plot tanah Broga pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa.
PKNS berkata, pencairan aset tanah Bukit Broga sebahagian strategi jangka panjangnya untuk memperkukuhkan perniagaan teras serta memfokuskan projek pembangunan lebih berimpak tinggi dan bermanfaat kepada rakyat Selangor.