
Nur Na’im Baharuddin, 36, berkata mereka sekeluarga mahu menuntut keadilan buat ibu, Khadijah Abdullah, 66, yang menjadi mangsa pertama serangan itu.
“Ibu saya cedera teruk, kulit kepala terkoyak, luka gigitan dalam anggota badan serta bengkak teruk di muka selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri.
“Kami sudah melantik peguam dan akan meneruskan tindakan sebaik sahaja ibu pulih serta laporan perubatannya lengkap,” katanya kepada Berita Harian.
Nur Na’im berkata, mereka kini memberi tumpuan menjaga Khadijah yang masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman perumahan itu, Abdulazim Abdul Hamid, 57, mengesahkan empat mangsa lain juga sedang meneliti mengambil tindakan sama.
“Dari perbualan saya dengan mereka, mereka bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang secara bersama,” katanya.
Sementara itu, pemilik anjing, Chong Shen Chong, 69, memohon maaf kepada mangsa dan mengakui itu hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Saya sudah melawat mangsa di hospital dan memohon maaf, saya faham mereka masih dalam keadaan emosi selepas kejadian itu.
“Salah seorang daripada mereka memberitahu bercadang untuk meneruskan tindakan undang-undang dan itu adalah hak mereka,” menurut laporan itu.
Chong mendakwa, insiden itu berlaku selepas dua anjing Rottweiler berusia empat tahun itu melarikan diri dari kandang kira-kira 2 pagi selepas berlaku pergaduhan dengan sekumpulan anjing liar di luar rumahnya.
Dia turut mendakwa mempunyai bukti rakaman video mengenai kejadian itu.