
Exco negeri, Ismail Salleh berkata, pihak berkuasa bertindak berdasarkan undang-undang kerana pusat itu beroperasi secara haram.
“Mereka disiasat kerana mengeksploitasi kanak-kanak di bawah Akta Kanak-kanak 2001 oleh polis. Satu kertas siasatan sudah dibuka mengenai kes ini minggu lalu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pemilik Pusat Jagaan Kanak-Kanak Cahaya Amal Bestari akan didakwa di mahkamah Khamis ini.
Pihak berkuasa mengarahkan pusat itu yang beroperasi di sederet 14 rumah kedai di Taman Pekan Baru, dikosongkan di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007 kerana tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah.
Seramai 109 kanak-kanak diserahkan kepada ibu bapa mereka, manakala 11 lagi anak yatim dipindahkan ke JKM.
Pusat itu menafikan mereka mengeksploitasi kanak-kanak itu untuk mengutip derma daripada orang ramai.
“Derma itu untuk menjaga mereka dan rakan serumah mereka yang lain,” kata jurucakapnya, Azfar Kamaruddin kepada FMT.