Madam W terus menyumbang kepada anak yatim selepas meninggal dunia

Madam W terus menyumbang kepada anak yatim selepas meninggal dunia

Pewasiat mengarahkan sebahagian estetnya bernilai RM6 juta diamanahkan untuk tujuan pelaburan dan pendapatan digunakan untuk membiayai rumah anak yatim.

Good Samaritan Home antara rumah anak yatim yang mendapat bantuan daripada penderma misteri hanya dikenali sebagai Madam W. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Hampir RM190,000 diagihkan kepada 20 rumah anak yatim bagi menunaikan hasrat seorang wanita dermawan yang mewasiatkan supaya sebahagian estetnya dilaburkan dan keuntungannya digunakan untuk membiayai dan menambah baik kehidupan anak yatim.

Ketua Pegawai Eksekutif Rockwills Trustee Bhd Azhar Iskandar Hew berkata, pewasiat dikenali sebagai Madam W, mengarahkan dalam wasiatnya supaya sebahagian estetnya bernilai RM6 juta diamanahkan untuk tujuan pelaburan dan pendapatannya digunakan untuk membiayai rumah anak yatim.

“Sejak 2013 apabila Rockwills Trustee dilantik sebagai pemegang amanah, lebih RM1.1 juta diagihkan, setiap tahun kepada kira-kira 20 rumah anak yatim.

“Berikutan keuntungan diagihkan secara sama rata, setiap daripada 20 rumah anak yatim menerima RM9,465.20, (berjumlah RM189,304.02) yang memanfaatkan sebanyak 1,100 anak yatim. Madam W masih terus menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik walaupun sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung di Menara AmFirst dan antara penerimanya ialah Good Samaritan Home, Rumah Bakti Dato’ Harun (Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor), House of Joy dan Desa Amal Jireh.

Azhar berkata, Rockwills Trustee mempunyai jawatankuasa operasi dalaman yang dianggotai pengarah dan staf pengurusan kanan untuk memastikan tabung amanah Madam W dilaburkan dalam instrumen pelaburan sesuai yang memberikan pulangan tetap setiap tahun tanpa menjejaskan modal dalam tabung amanah itu.

“Rockwills Trustee berasa gembira diamanahkan dengan tanggungjawab murni untuk melaksanakan pelan rancangan estet yang unik itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.