Penganggur ditahan menyamar penghulu kutip derma

Penganggur ditahan menyamar penghulu kutip derma

Polis berkata, mangsa yang memasukkan RM2,800 ke akaun suspek terkejut dimaklumkan tiada majlis makan untuk anak yatim di sebuah masjid di Tumpat.

Suspek berusia 28 tahun itu yang ditahan semalam turut dikehendaki polis berhubung kes rogol di Bachok dan satu lagi kes menyamar menggunakan modus operandi sama di Pasir Puteh Mei lalu.
PETALING JAYA:
Seorang penganggur ditahan di Pengkalan Chepa, Kelantan semalam kerana menyamar sebagai penghulu mengutip derma bagi mengadakan majlis makan untuk anak yatim.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan di rumahnya di kawasan perumahan Kemuming pada 4.48 petang Jumaat.

Beliau berkata, suspek mengaku menyamar penghulu dengan menghubungi dan meminta sumbangan daripada seorang peniaga pada 29 Okt lalu, dengan mangsa memasukkan RM500 ke akaun suspek.

Tetapi, katanya, suspek menghubungi mangsa semula dengan mendakwa wang itu tidak mencukupi dan mangsa kemudian memasukkan tambahan RM2,300.

“Suspek memberitahu mangsa majlis akan dibuat di sebuah masjid di Tumpat,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Zaki berkata, mangsa yang lalu di depan masjid itu keesokannya bertanya seorang kakitangan berhubung majlis makan berkenaan, namun beliau terkejut dimaklumkan tiada majlis sedemikian.

Susulan itu, katanya, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran dan suspek direman bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal dan semakan mendapati suspek merupakan individu dikehendaki polis berhubung kes rogol di Bachok.

“Pada masa sama, suspek juga didapati terlibat dengan satu kes menggunakan modus operandi sama di Pasir Puteh pada Mei dan sedang disiasat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.