
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pegawai forensiknya sedang meneliti dokumen (kewangan) diperoleh daripada Aman Palestin dari 2020 hingga 2022.
“Kami belum memanggil mana-mana saksi buat masa ini kerana pegawai forensik masih meneliti dokumen tersebut. Banyak perkara yang perlu kami teliti, terutamanya berkaitan rekod dari 2020 hingga 2022,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya.
Sebelum ini, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) tidak membenarkan Tabung Aman Palestin mengutip derma di premis agama Islam negeri itu.
Beliau menyuarakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana Aman Palestin serta menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara itu. Justeru, JAIPs menangguhkan pengumpulan dana oleh Aman Palestin di Perlis bermula 12 Okt lalu sehingga siasatan selesai.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM sedang dipantau lima panel bebas, termasuk Jawatankuasa Aduan dan memadai untuk menyiasat mana-mana pegawai SPRM didakwa terbabit salah laku.
“Jawatankuasa Aduan ini sudah lama diwujudkan untuk menyiasat salah laku mana-mana pegawai SPRM.”
Semalam, Gobind Singh Deo (PH-Damansara) ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat bertanya bila kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat aduan terhadap pegawai SPRM didakwa terbabit salah laku.