Lemang tidak lagi renyah untuk disediakan dengan adanya ‘Mesin Memasak Lemang’

Lemang tidak lagi renyah untuk disediakan dengan adanya ‘Mesin Memasak Lemang’

Lemang makanan popular dapat dinikmati bila-bila masa dengan set pembakaran lebih mudah, canggih.

Sebut saja lemang pasti orang akan teringat Hari Raya Aidilfitri kerana ia adalah makanan tradisional yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu.

Bagaimanapun lemang kini bukanlah makanan bermusim apabila kita kadang kala boleh mendapatinya dimana-mana.

Namun proses penyediaannya cukup renyah dalam memastikan keenakannya terjamin.

Lemang juga perlu masak sekata, berlemak dan berbau harum dan semestinya ia memerlukan kesabaran kerana lemang perlu dibakar antara 5 hingga 6 jam dengan kawalan api yang seimbang.

Namun, semua kepayahan itu bukan lagi menjadi penghalang dengan adanya inovasi dan perkembangan teknologi apabila proses penghasilan lemang kini berubah sesuai dengan peredaran semasa.

Salah satunya adalah inisiatif menerusi pengenalan sebuah mesin oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dikenali sebagai ‘Mesin Memasak Lemang’.

Mesin yang dicipta sejak 31 tahun lalu diperkenalkan oleh MARDI pada 13 Februari 1988.

Berdasarkan rekod, mesin pemprosesan lemang ini hasil ciptaan tiga anak tempatan yang bertugas di MARDi iaitu Samsudin Ahmad, Mohd Zainal Ismail dan Mohd Shaidi Arifin.

Mesin memasak lemang ini mengambil masa dua jam sahaja untuk memasak lemang berbanding dengan menggunakan teknik tradisional yang mengambil masa 6 jam.

Kos membina mesin ini dengan muatan sepuluh batang ialah RM1,300.00 dan RM2,250.00 bagi muatan 20 batang dan jika dijaga dengan baik boleh tahan sampai 10 tahun.

Mesin itu yang bukan sahaja mampu mengurangkan kerumitan dalam kalangan pembuat lemang, bahkan membantu usahawan dalam menghasilkan lemang yang lebih berkualiti, pantas dan menampung permintaan orang ramai.

Menerusi satu kajian yang disiarkan oleh MARDI, mesin ini mampu memproses lemang tanpa penggunaan buluh dan kayu api, sebaliknya ia diganti dengan sarung keluli berbentuk silinder dan dibakar menggunakan ketuhar elektrik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.