Keluarga mangsa dibakar di Bangkok bimbang kos rawatan

Keluarga mangsa dibakar di Bangkok bimbang kos rawatan

Mereka bimbang dengan kos rawatan cecah kira-kira 150,000 baht selepas hanya seminggu lebih terima rawatan di Hospital Memorial King Chulalongkorn.

MALAYSIAN TOURISTS WITH BURN INJURIES IN BANGKOK bernama pic 15825
Doktor bercakap dengan keluarga dua rakyat Malaysia yang dibakar di Bangkok pada 7 Ogos. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keluarga dua rakyat Malaysia yang melecur selepas dibakar seorang penganggur di Bangkok, Thailand, 7 Ogos lalu bimbang kos rawatan perubatan mereka akan melebihi perlindungan insurans.

Gan Kin In, 80, dan isteri Kek Ley Lan, berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Thailand, serta agensi berkaitan, atas bantuan susulan insiden menimpa anak perempuan mereka dan teman lelakinya.

“Kami berada di Bangkok sejak seminggu lalu. Kerajaan Malaysia melalui Kedutaan sentiasa memberi sokongan, manakala pihak Thailand melalui polis pelancong serta Kementerian Pelancongan dan Sukan menyediakan pengangkutan dan penginapan,” katanya menurut Bernama.

Mangsa Gan Xiao Zhen, 27, dan teman lelakinya Ong Yik Leong, 26, diserang seorang lelaki yang tidak bekerja, didakwa menyimbah dengan cecair pelarut sebelum membakar mereka berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri dalam kejadian kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun, Kin In berkata mereka bimbang dengan kos rawatan yang telah mencecah kira-kira 150,000 baht selepas hanya seminggu lebih menerima rawatan di Hospital Memorial King Chulalongkorn.

Beliau berkata, kerajaan Thailand bersetuju memberikan pampasan sehingga 550,000 baht setiap seorang.

“Kami bimbang jumlah pampasan itu tidak cukup untuk menampung keseluruhan kos rawatan di sini memandangkan caj agak tinggi,” katanya.

Kin In, seorang pesara, berkata doktor tidak optimis untuk membenarkan mangsa dipindahkan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Semalam, Xiao Zhen mengalami demam dan tekanan darah tinggi tetapi kini sudah pulih. Keadaannya kini lebih stabil dan jika kesihatannya mengizinkan, doktor akan menjalankan pembedahan kecil cantuman kulit secara berperingkat,” katanya.

Dalam perkembangan terkini mengenai keadaan Xiao Zhen, Kin In berkata doktor menganggarkan proses pemulihan akan mengambil masa sekitar dua bulan selepas prosedur cantuman kulit, yang perlu dilakukan secara berfasa bagi mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan.

Sementara itu, Yik Leong yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Polis dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dijaga ibu saudaranya, Ong Siew Kien.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.