
“Buat sementara ini, tiada pemindahan (penduduk),” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
“Sebenarnya, ia tidak jejas begitu teruk, cuma di kawasan tertentu. Ia bukannya sepanjang masa, tetapi kadang-kadang semasa panas, haba naik.”
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan orang ramai menjauhi tempat kejadian kerana mereka boleh terdedah kepada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim disebabkan beberapa faktor, termasuk suhu dan kelajuan angin.
“Semua faktor itu yang menyebabkan bukan sahaja 5km, jaraknya lebih dari itu boleh terkena.”
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik melalui Facebook berkata, 34 sekolah ditutup hari ini akibat pencemaran sisa toksik sejak minggu lalu.
Katanya, keadaan semakin kritikal akibat pencemaran itu yang menyebabkan 207 murid, guru dan kakitangan sekolah dirawat akibat keracunan.
Sementara itu, Osman berkata, kerajaan Johor sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas dan membentuk pusat pengurusan bencana negeri melibatkan pelbagai pihak seperti polis, Jabatan Alam Sekitar, bomba dan Kementerian Pendidikan.
“Jawatankuasa ini akan beroperasi selama 24 jam tanpa henti untuk memantau kerja keselamatan dan kawalan, ia juga akan bertindak sebagai koordinasi kawalan pencemaran.
“Atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar saya juga arahkan ‘special task force’ untuk mulakan siasatan forensik berhubung isu ini.
“Saya beri kuasa penuh untuk siasatan dan kajian dilakukan agar mereka yang bertanggungjawab dalam kes ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Tambah Osman, kerajaan negeri turut meluluskan RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk pembersihan dan bantuan kepada mangsa terlibat.
“Ketika ini tidak perlu mencari salah mana-mana pihak untuk bermain politik, fokus utama adalah untuk memberi pertolongan, saya tegaskan jangan sebarkan sebarang berita palsu.
“Kita sudah mulakan langkah-langkah segera, satu kontraktor sudah dilantik dan kita lantik lagi dua kontraktor supaya pembersihan dapat dilakukan segera,” katanya.