
Tertuduh, Die Sing Kwong, 60, yang menghadapi 5 pertuduhan mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan, mengaku tidak bersalah.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majitret, Stella Augustine Druce membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM12,500 bersama 2 penjamin.
Tarikh sebutan lanjut kes di Mahkamah Majistret Kapit ditetapkan pada 21 Mac ini.
Inspektor Badrul Iskandar Selamat melakukan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam, Boston Ho.
Die didakwa memperdaya Tie Siew Heng, Enyang Ato, Untoi Luyang, Gawan Masin dan Aji Surau di Sibu serta Kapit antara Oktober hingga Disember lalu dengan menawarkan pekerjaan di sebuah syarikat pembalakan Liberia kepada mangsa.
Selepas menerima tawaran pekerjaan itu bergaji sehingga RM8,000 sebulan itu, semua mangsa dilaporkan dibawa ke sebuah kampung di Mount Barclay, Liberia, pada 3 Januari lalu, tetapi selepas sebulan menunggu, mereka tidak diberikan sebarang pekerjaan.
Mereka terpaksa menjual telefon bimbit dan jam tangan untuk membeli barang keperluan harian.
Mangsa itu berjaya diselamatkan ekoran campur tangan Wisma Putra dan kerajaan Liberia, sebelum mereka tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 9.15 malam 3 Mac lalu.