3 warga Sierra Leone, Liberia mengaku tak salah rompak USD30,000

3 warga Sierra Leone, Liberia mengaku tak salah rompak USD30,000

Tiga lelaki itu didakwa bersama dua lagi individu melakukan rompakan berkumpulan wang tunai USD30,000 milik Hiroyuki Azuma, 58.

Dua lelaki dari Sierra Leone dan seorang warga Liberia dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini untuk berdepan tuduhan merompak seorang warga Jepun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tiga lelaki dari Sierra Leone dan Liberia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merompak wang tunai USD30,000 milik seorang peniaga lelaki warga Jepun bulan lepas.

Patrick Samba, 34, dan Ibrahim Jalloh, 36, dari Sierra Leone serta Douglas Daniel Devine, 38, warga Liberia didakwa bersama dua lagi individu melakukan rompakan berkumpulan wang tunai USD30,000 (RM129,945) milik Hiroyuki Azuma, 58.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di depan sebuah restoran dalam pusat beli-belah di Brickfields pada 1.30 tengah hari 9 Ogos lepas.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah tidak mencadangkan jaminan kerana semua tertuduh tiada dokumen perjalanan sah.

Bagaimanapun, peguam AR Palaya mewakili ketiga-tiga tertuduh berkata, anak guamnya mempunyai dokumen perjalanan sah yang disimpan ejen atau kolej tempat mereka belajar.

“Mohon mahkamah menetapkan tarikh singkat untuk saya membuat pengesahan terhadap dokumen perjalanan mereka sebelum membuat rayuan berhubung jaminan,” kata peguam.

Hakim Egusra Ali tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 Sept ini sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.