
Menurut Pejabat Peguam AS bagi Daerah Utara Illinois, rakyat Malaysia Cedric Lim, Ko Sen Chai, King Sung Wong, Siong Wee Vun dan Kok Wah Wong, bersama warga Taiwan Ming-Shen Cheng dan Chien Lung Ma didakwa atas tuduhan penipuan kawat dan sekuriti.
Dalam kenyataan di laman web Jabatan Kehakiman AS, kumpulan itu didakwa terlibat dalam promosi dan perdagangan saham diselaraskan yang mengelirukan bagi China Liberal Education Holdings Ltd, sebuah syarikat yang diperbadankan di Kepulauan Cayman, kononnya menyediakan perkhidmatan pendidikan di China.
“Skim ‘pump and dump’ itu didakwa melibatkan individu di China menyamar sebagai penasihat pelaburan berpangkalan di AS di media sosial dan platform pemesejan yang secara palsu menjanjikan pulangan besar daripada pelaburan dalam syarikat itu,” menurut kenyataan itu.
Katanya, sebaik sahaja harga saham meningkat secara buatan, kumpulan itu menjual saham secara pukal untuk mengaut keuntungan berjuta-juta dolar, yang membawa kepada kejatuhan harga saham, menyebabkan pelabur lain rugi, dengan ada yang kehilangan hampir keseluruhan pelaburan mereka.
Penguatkuasa undang-undang persekutuan AS merampas kira-kira USD214 juta (RM946 juta) hasil didakwa diperoleh daripada skim penipuan itu, tambahnya.
“Hasil itu kini berada dalam simpanan (kerajaan) AS dan kami telah memfailkan aduan sivil pada Khamis untuk memohon wang itu dilucuthak secara kekal kepada AS, yang akan membolehkan kerajaan memulangkannya kepada pelabur yang menjadi mangsa,” katanya.
Menurut undang-undang AS, pesalah penipuan sekuriti boleh dihukum penjara sehingga 25 tahun, manakala hukuman maksimum untuk penipuan kawat ialah 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Mangsa atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai skim penipuan itu digesa untuk menyampaikan maklumat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS.