
Ribuan wanita berhimpun di tengah Istanbul pada Jumaat malam untuk meraikan Hari Wanita Sedunia tetapi polis melepaskan gas pemedih mata ke atas himpunan itu.
Dalam satu ceramah pilihan raya yang disiarkan di televisyen hari ini, Erdogan menunjukkan video yang dirakam ketika tunjuk perasaan itu, memaparkan wanita melaungkan slogan ketika masjid berdekatan melaungkan azan.
“Mereka tidak menghormati azan dengan slogan, boo dan bersiul,” kata Erdogan kepada hadirin.
Wanita yang menyertai perarakan itu berkata laungan slogan dan bersiul itu sebahagian daripada tunjuk perasaan dan tidak ditujukan kepada azan, yang dilaungkan ketika himpunan sedang berjalan.
Polis kerap menghalang tunjuk perasaan di tengah Istanbul dan merata tempat. Ankara mengetatkan kawalan selepas darurat diisytiharkan susulan cubaan merampas kuasa pada 2016. Darurat ditarik balik pada Julai.
Ceramah Erdogan ini diadakan sebelum pilihan raya tempatan pada 31 Mac untuk datuk-datuk bandar dan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan.