
Katanya, hutang tersebut dijelaskan sepenuhnya kepada Ahli Parlimen Segamat, Dr R Santhara Kumar dan semua dokumen serta bukti pembayaran diserahkan kepada pimpinan pusat selepas isu tersebut dibangkitkan di peringkat dalaman.
“Saya berhutang dengannya RM60,000 dan membayar keseluruhan hutang itu pada Oktober tahun lepas secara tunai yang saya serahkan kepada pegawai khasnya.
“Tetapi apabila isu ini ditimbulkan di peringkat dalaman, saya kemudiannya telah serahkan dokumen dan bukti pembayaran kepada pimpinan pusat pada awal bulan lepas dan kalau naik mahkamah pun saya ada bukti,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau juga terkejut dengan tindakan Santhara Kumar yang menurutnya kawan baik beliau.
“…saya tidak tolak kemungkinan perkara ini ditimbulkan ada kaitannya dengan PRK Rantau untuk memburukkan imej saya,” katanya.
Semalam, 1 mesej tular dalam laman media sosial mendakwa Santhara Kumar membuat laporan polis terhadap Dr Streram atas dakwaan gagal membayar balik wang yang dipinjam bagi tujuan pembelajaran anaknya.