Semalam bersanding, hari ini PAS-Umno bergabung jentera

Semalam bersanding, hari ini PAS-Umno bergabung jentera

Penggabungan ini obligasi mandatori PAS selaras dengan kerjasamanya dengan Umno.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS akan menggabungkan jenteranya di Rembau dan Negeri Sembilan dengan Umno bagi membantu sekutunya berdepan Pakatan Harapan di DUN Rantau yang akan diadakan 13 April nanti.

Penggabungan ini bagi memastikan semua gerak kerja kedua-dua parti berjalan lancar dan berkesan.

“Perkara ini merupakan obligasi mandatori PAS selaras dengan ‘ta’awun siyasi’ yang telah dimeteraikan oleh PAS dengan Umno pada 5 Mac,” kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini.

Meyakini Umno akan mengekalkan bekas menteri besar Mohamad Hasan, PAS berkata timbalan presiden parti Melayu itu mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang, “bukan sahaja kepada rakyat DUN Rantau malah seluruh rakyat Negeri Sembilan”.

PAS dan Umno bersetuju untuk bekerjasama di peringkat Parlimen dan pilihan raya kecil akan datang selepas mengambil kira keadaan politik semasa.

PRK Rantau tercetus apabila Mahkamah Pilihan Raya pada November membenarkan petisyen calon PH, Dr Streram Sinnasamy meminta SPR membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-14 bagi DUN Rantau.

Pengumuman rasmi oleh PAS ini merupakan yang pertama seumpamanya selepas PRK DUN Sungai Kandis (4 Ogos), DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.