
Katanya, pencapaian bersama rantau ini mencerminkan ‘kesungguhan Asean untuk mempercepatkan peralihan tenaga bersih, memperkukuh kesalinghubungan serantau, dan merangka hala tuju ke arah masa depan yang mampan dan makmur’.
Menurutnya, Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean (AMEM) ke-43 berjaya mencapai matlamat penting, termasuk pengesahan memorandum persefahaman yang dipertingkatkan bagi Grid Tenaga Asean, Perjanjian Keselamatan Petroleum Asean, serta Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga Asean (APAEC) 2026–2030.
“Pencapaian ini bukan sekadar dokumen dasar. Ia adalah bukti kepercayaan bersama dan visi yang dikongsi,” katanya berucap dalam majlis makan malam gala sempena Forum Perniagaan Tenaga Asean (AEBF) ke-25 2025 dan Anugerah Tenaga Asean.
Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air menegaskan, kepelbagaian adalah kekuatan Asean.
“Walaupun Asean kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan sejarah, kita disatukan oleh satu visi – masa depan yang aman, makmur dan lestari untuk rakyat kita,” katanya.
Majlis turut meraikan pemenang Anugerah Tenaga Asean 2025 yang menerima trofi sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan amalan inovatif.
Tetamu dihiburkan dengan persembahan memukau oleh Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) dan artis terkenal tanah air seperti Aina Abdul, Siti Nurhaliza serta M Nasir.
Fadillah juga mengambil kesempatan menjemput hadirin ke Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan menekankan ‘kekayaan budaya, warisan, dan keindahan alam semula jadi ‘ di negara ini.
“Pelancongan, seperti tenaga, adalah tentang hubungan. Ia memperkaya pengunjung sambil melindungi dan memelihara alam sekitar serta warisan yang membentuk identiti kita.
“Marilah kita teruskan semangat ‘Malaysia Truly Asia’, di mana setiap kunjungan bukan sekadar perjalanan – ia adalah perjalanan jiwa,” katanya.