Korban lombong emas haram tertimbus meningkat 16 orang

Korban lombong emas haram tertimbus meningkat 16 orang

Operasi mencari mangsa yang tertimbus akan diteruskan untuk tempoh 3 hari lagi.

Lebih 60 orang dipercayai tertimbus di tapak perlombongan emas haram di Kabupaten Bolaang Mongondow, Sulawesi Utara. (Gambar AFP)
JAKARTA:
Mangsa yang terkorban dalam kejadian tapak lombong emas tertimbus pada 26 Feb lepas di Sulawesi Utara, meningkat kepada 16 orang setakat ini.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, operasi mencari mangsa yang tertimbus akan diteruskan untuk tempoh 3 hari lagi.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata setakat hari ini, jumlah mangsa tertimbus yang berjaya diselamatkan adalah seramai 34 orang.

Tapak perlombongan emas haram di kawasan hutan, kira-kira lebih 1 jam perjalanan kaki dari Desa Bakan Kecamatan Lolayan dilaporkan beroperasi lebih 2 tahun itu tertimbus akibat berlaku kejadian tanah runtuh pukul 9 malam pada hari kejadian.

Menurut laporan media tempatan sebelum ini, lebih 60 orang dipercayai tertimbus di tapak perlombongan emas haram di Kabupaten Bolaang Mongondow, Sulawesi Utara, Indonesia itu.

“Sampai saat ini jumlah mangsa yang masih tertimbus belum ada data yang pasti. Operasi mencari ditambah 3 hari lagi,” kata Sutopo dalam satu kenyataan.

Kabupaten Bolaang Mongondow merupakan antara daerah Sulawesi Utara yang kaya dengan sumber galian seperti emas, besi, tembaga dan belerang.

Menurut media tempatan, pihak berkuasa bertindak menutup kawasan itu, namun penduduk kawasan berkenaan menceroboh dan melakukan aktiviti melombong secara haram pada waktu malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.