Peguam gesa remaja didakwa bunuh CEO Cradle Fund dibenar ikat jamin

Peguam gesa remaja didakwa bunuh CEO Cradle Fund dibenar ikat jamin

Baljit Sidhu berkata kanak-kanak, wanita, orang sakit atau mereka yang lemah yang dituduh melakukan jenayah yang membawa kepada hukuman mati boleh membuat permohonan jaminan sementara menunggu keputusan perbicaraan.

Semalam, balu CEO Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzzaffar dan 2 remaja serta seorang lagi warga Indonesia yang masih bebas didakwa membunuh Nazrin Hassan.
PETALING JAYA:
Seorang peguam menggesa 2 remaja yang berdepan tuduhan membunuh bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan dibebaskan dengan jaminan supaya pelajaran mereka tidak terganggu.

Baljit Sidhu berkata majistret tidak boleh menawarkan jaminan kerana pegawai itu tidak mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah yang membawa kepada hukuman mati.

Bagaimanapun, Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan orang yang dituduh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk jaminan bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin seperti pembunuhan.

“Kanak-kanak, wanita, orang sakit atau orang yang lemah yang dituduh melakukan jenayah yang membawa kepada hukuman mati boleh membuat permohonan jaminan sementara menunggu keputusan perbicaraan,” kata Baljit kepada FMT.

Kedua-dua remaja yang berusia 15 dan 17 tahun itu didakwa membunuh Nazrin semalam bersama balunya, Samirah Muzaffar, dan Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka mencapai niat bersama melakukan sesuatu dengan menyebabkan kematian ke atas Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara.

Baljit berkata terdapat pendahulu undang-undang bagi remaja itu untuk memohon ikat jamin, memberi contoh bekas peguam Balwant Singh yang didakwa membunuh seorang penghantar barang pada 2002. Balwant dibenarkan ikat jamin kerana dia dikatakan lemah kerana sudah berusia.

“Mahkamah Tinggi kemudian mengenakan syarat dalam memberikan jaminan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua remaja itu akan ditempatkan di Penjara Kajang tetapi diasingkan dengan tahanan dewasa.

“Mereka boleh meneruskan pelajaran mereka, dengan guru yang ditugaskan oleh pihak berkuasa untuk melawat mereka di bawah skim penjara.”

Baljit berkata ini adalah penting kerana dalam keadaan biasa, perbicaraan boleh mengambil masa antara 2 hingga 5 tahun untuk diputuskan.

“Dalam sistem keadilan jenayah kita, seseorang tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah.

“Masa mereka di penjara akan menjadi tidak produktif jika mereka akhirnya dibebaskan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar remaja itu ditempatkan di bawah penjaga, dengan syarat jaminan yang ketat seperti tinggal di dalam rumah kecuali untuk bersekolah, dan melaporkan diri kepada balai polis terdekat sekali seminggu.

Baljit, yang juga ahli jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam, menggesa kerajaan mengkaji Akta Kanak-kanak 2001 untuk membetulkan apa yang dikatakannya beberapa kelemahan dalam undang-undang.

“Mereka yang mendedahkan identiti kanak-kanak yang didakwa dengan kes jenayah mesti dihukum dengan hukuman penjara atau denda yang berat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.