
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, program itu akan melibatkan masjid, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat.
“Selain memberi bantuan seperti makanan, golongan ini akan dibantu dengan pelbagai pengisian agama dan khidmat kaunseling supaya mereka dapat kembali berdikari dan hidup seperti orang lain.
“Pendekatan ini berbeza, kerana tidak diadakan di dalam masjid seperti lazimnya, tapi kita keluar dengan menyantuni mereka di tempat umum dalam satu-satu program,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Rahmah yang pertama kali dianjurkan di Anjung Singgah di sini malam tadi.
Sebelum itu, Mujahid bersama-sama menyertai sukarelawan daripada Yayasan Kebajikan Negara dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengedarkan bantuan makanan kepada kira-kira 200 gelandangan.