
Ia susulan keputusan panel 3 hakim diketuai Datuk Seri Balia Yusof Wahi yang membenarkan permohonannya berdasarkan 3 persoalan undang-undang.
Balia berkata, Chin yang kini ahli Parlimen Petaling Jaya, melepasi Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman kerana soalan yang dikemukakan itu berkepentingan awam dan dibangkitkan buat pertama kali.
Persoalan ialah sama ada Seksyen 3 (2) Akta Imigresen memberi kuasa kepada ketua pengarah dengan budi bicara tanpa had sehingga beliau boleh melaksanakan sekatan perjalanan yang melanggar hak demokratik warganegara, termasuk hak mengkritik kerajaan; sama ada Seksyen 59, yang menyentuh hak untuk didengar, adalah sah dan berperlembagaan; serta sama ada Seksyen 59A, yang menyingkirkan hak pihak terbabit mendapatkan remedi undang-undang, berperlembagaan berdasarkan 2 keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
Peguam, Datuk Gurdial Singh Nijar yang mewakili Chin berkata, permohonan kebenaran itu akan membolehkan Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan terdahulu yang memberi kuasa kepada ketua pengarah menyekat warganegara ke luar negara.
“Walaupun Mahkamah Rayuan tahun lalu memutuskan kes itu bersifat sebagai akademik, rayuan Chin kini ialah kepentingan awam.”
Peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, permohonan kebenaran itu perlu ditolak kerana sekatan perjalanan ke atas Chin ditarik baik pada 17 Mei 2016.
Pada 18 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pindaan terhadap Akta Imigresen tidak membenarkan mahkamah mendengar aduan rakyat yang dilarang ke luar negara.
Oleh itu, Hakim, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad berkata, beliau tidak boleh memberi remedi yang dikehendaki Chin.
“Fasal penyingkiran dalam Seksyen 59A Akta Imigresen menghalang rakyat hak untuk memohon semakan kehakiman,” kata hakim ketika menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Chin.
Katanya, Seksyen 59 akta itu seterusnya membenarkan responden – menteri dalam negeri dan ketua pengarah Jabatan Imigresen – hak tidak memberi alasan kenapa sekatan itu dilaksanakan, kecuali jika ia membabitkan pelanggaran prosedur.
Chin mendakwa beliau hanya dimaklumkan mengenai sekatan perjalanan itu sebelum menaiki penerbangan ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Beliau memohon membatalkan keputusan responden untuk menyenarai hitamkannya ke luar negara.
Beliau turut memohon perisytiharan yang responden itu tiada kuasa membuat keputusan itu dan bertindak melangkaui bidang kuasa mereka.