Anggota tentera ditahan akibat cetak wang palsu tampung kos kahwin

Anggota tentera ditahan akibat cetak wang palsu tampung kos kahwin

Polis berkata, lelaki berusia 28 tahun itu membuat laporan polis mendakwa menerima wang palsu itu dari sebuah ATM di bank dengan harapan bank menukar wang itu kepada wang tulen.

Polis berkata, suspek pernah mengeluarkan RM4,000 dari ATM sebuah Jumaat lalu bagi kegunaan perbelanjaan perkahwinan. (Gambar Bernama)
SIBU:
Terdesak menampung perbelanjaan majlis perkahwinannya, seorang anggota tentera mengambil jalan pintas dengan mencetak wang palsu bernilai RM4,000 menggunakan mesin pencetak di pejabatnya sejak awal bulan ini.

Bagaimanapun, kegiatan licik lelaki berusia 28 tahun itu terbongkar apabila membuat laporan polis dengan mendakwa menerima wang palsu itu dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Jonathan Ringgit berkata, suspek membuat laporan polis tengah hari Sabtu dengan harapan pihak bank dapat menukarkan wang palsu itu dengan wang tulen.

Katanya, siasatan polis mendapati suspek menyerahkan wang berkenaan kepada tunangnya, namun keaslian wang tersebut dicurigai dan suspek dinasihati membuat laporan polis selepas mendakwa mengeluarkan wang itu dari ATM.

“Suspek sebenarnya memang ada mengeluarkan RM4,000 dari ATM bank berkenaan Jumaat lalu bagi kegunaan perbelanjaan perkahwinan, tetapi menyerahkan wang yang disyaki palsu kepada tunangnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, suspek yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 30 Mac depan, ditahan Sabtu dan polis merampas 25 keping wang kertas RM100 dan 30 keping RM50 serta seunit mesin pencetak.

Katanya, suspek direman 4 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.