Miliki 12 wang palsu AS, warga emas dijel 10 bulan

Miliki 12 wang palsu AS, warga emas dijel 10 bulan

Woo Tuck Lab, 64, mengaku bersalah memiliki 12 keping wang palsu Amerika Syarikat bernilai USD1,200.

gavel
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Woo Tuck Lab, 64, yang mengaku bersalah memiliki 12 keping wang palsu Amerika Syarikat bernilai USD1,200. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memiliki 12 keping wang kertas Amerika Syarikat palsu bernilai USD1,200 tiga bulan lalu.

Hakim Azrul Darus juga memerintahkan peniaga Woo Tuck Lab, 64, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 Jun lepas.

Woo didakwa memiliki 12 keping wang kertas USD100 palsu dengan niat menggunakannya sebagai tulen di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Ampang pada 20 Jun lepas, mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya R Harvind memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira kesalahan dilakukannya menjejaskan kepercayaan orang awam terhadap institusi kewangan negara.

Peguam Fahizul Amar Mohd Zulkifli yang mewakili tertuduh memohon anak guamya dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan bermula dari tarikh tangkap dengan alasan tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Anak guam saya seorang peniaga dan tiada pendapatan tetap. Wang palsu itu diperoleh daripada rakannya dan dia tidak tahu memiliki wang palsu adalah salah,” kata peguam itu dan menambah anak guamnya itu hidup sebatang kara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.