
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata ketika ini semua media terutama platform dalam talian dipantau Kementerian Komunikasi.
Namun, ketua portfolio komunikasi Ahli Parlimen PN itu bimbang berlaku pertindanan kawal selia jika akta terbabit bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu diletakkan di bawah KDN walaupun kebanyakan media terutama dalam talian bawah Kementerian Komunikasi.
“Pertindanan itu macam mana? Adakah ia akan menyukarkan situasi media di Malaysia atau dipermudahkan?” katanya dalam temu bual FMT di Parlimen.
Minggu lalu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) membantah cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sehubungan itu, tiga kesatuan tersebut menuntut kerajaan memberi penjelasan berikutan desas-desus syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan bawah pindaan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, memberi jaminan akan bekerjasama dengan pengamal media dalam merangka pindaan akta itu.
Wan Saiful yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata beliau berhasrat mengadakan pertemuan dengan wakil NUJM, CIJ dan GERAMM bagi memahami kebimbangan mereka.
Beliau juga bimbang peranan media akan terjejas jika ada kekangan dan menyebabkan kesukaran menjalankan tugas untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
“Saya bimbang sekiranya ada peraturan terlalu ketat diperkenalkan, yang boleh kekang hak kebebasan bersuara media tempatan, sebab itu saya berhasrat bertemu ketiga-ketiga NGO ini.
“Sedangkan di Indonesia pun ada perubahan positif, jadi kita kena pastikan Malaysia menuju hala tuju yang sama,” katanya.