7 orang usung Adib, minta tolong bawa ke hospital, kata penyelamat

7 orang usung Adib, minta tolong bawa ke hospital, kata penyelamat

Bekas tentera, Mohd Hafisan Nordin adalah pemandu kenderaan yang mengejarkan Adib ke hospital.

SHAH ALAM: Pemandu yang mengejarkan Muhammad Adib Mohd Kassim ke hospital bersama seorang lagi penyelamatnya berkata 7 orang mengusung anggota bomba itu kepadanya meminta tolong membawa Adib ke hospital.

Mohd Hafisan Nordin, 32, seorang bekas anggota tentera berkata dia mahu melalui kawasan rusuhan di Kuil Seri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lepas untuk mengisi petrol kenderaan pacuan 4 rodanya tetapi dihalang seorang wanita berketurunan India.

“Saya diberitahu ‘jangan masuk, nanti kena pukul’. Ketika wanita itu menghalang, saya ada mendengar jeritan minta tolong hantar arwah ke hospital.

“Saya nampak kira-kira 7 orang mengusung Adib tetapi pada masa itu saya rasa macam 50-50 hendak masuk atau tidak.

“Ada orang yang berkumpul di tepi-tepi jalan. Saya turun daripada kenderaan saya dan masukkan Adib ke bahagian belakang. Ketika itu, anggota bomba berkenaan tidak memakai baju dan kasut, hanya seluar celoreng,” kata saksi ke-10 hari ini.

Hafisan ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Zhafran Rahim Hamzah mengesahkan Narresh Rajandran, 30, seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam, meminta bantuannya dan mengikutinya ke hospital.

“Dia duduk di bahagian belakang dengan arwah. Saya diberitahu Narresh bahawa arwah cedera,” katanya kepada koroner.

Pukul beramai-ramai

Hafisan berkata dia melihat kesan lebam di bahagian rusuk kanan hingga ketiak ketika Adib diangkat ke belakang kenderaannya.

Ketika menjawab soalan peguam Ahmad Taufiq Baharum, yang mewakili keluarga Adib, Hafisan sempat memeriksa nadi Adib setibanya di hospital dan merasakan ia lemah.

Hafisan merupakan seorang pembantu perubatan ketika berkhidmat dalam tentera.

Dalam perbualannya dengan Narresh, Hafisan berkata Narresh menganggap mereka yang memukul Adib tiada perikemanusiaan.

“Dia beritahu dia menghalang perusuh namun mereka pukul Adib beramai-ramai. Dia cakap kepada saya, ‘anggota bomba pun nak pukul, tiada perikemanusiaan’,” katanya.

Adib, 24, yang merupakan anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia di Institut Jantung Negara 3 minggu selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.