
Syerif Daerah Kootenai, Robert Norris dalam sidang media Ahad malam berkata, kejadian berlaku ketika anggota bomba sedang bertindak balas terhadap kebakaran belukar di Gunung Canfield dekat Bandar Coeur d’Alene.
Anggota bomba melaporkan mereka ditembak individu tidak dikenali yang bersembunyi dalam hutan.
Satu pasukan tindak balas taktikal menggunakan data telefon bimbit mengesan kawasan hutan di mana mereka menemui mayat suspek bersama senjata api berhampiran, kata Norris sambil menambah: “Kami percaya hanya terdapat seorang penembak di gunung itu pada masa kejadian.”
Jurucakap Kootenai Health mengesahkan ketiga-tiga anggota bomba itu dibawa ke hospital, dengan dua daripadanya disahkan meninggal dunia sebaik tiba, manakala seorang lagi sedang dirawat.
Anggota bomba cedera itu baru selesai menjalani pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil, kata syerif kepada pemberita.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti suspek. Dengan kebakaran semakin hampir, mereka terpaksa “mengeluarkan” mayat suspek untuk siasatan lanjut, kata Norris.
“Kami percaya suspek memulakan kebakaran itu dan kami percaya ini serangan hendap disengajakan. Anggota bomba ini tiada peluang menyelamatkan diri.”
Menurut kenyataan terdahulu pejabat syerif, arahan perlindungan ditarik balik pada Ahad malam, namun kebakaran belukar masih aktif.