
Jamilah Taib Murray, anak perempuan Gabenor Sarawak dan bekas ketua menteri, Tun Abdul Taib Mahmud, bersama suaminya, Sean Murray memfailkan saman fitnah terhadap Tabung Bruno Manser atas tuduhan pengubahan wang.
Dalam laporan “Safe Haven Canada”, NGO itu menggesa pihak berkuasa Kanada mengheret Jamilah dan suaminya ke mahkamah atas dakwaan menerima dana daripada Taib secara berterusan.
Jumaat lalu, mahkamah sivil Basel menolak permohonan pasangan itu untuk mengharamkan penerbitan 250 karya, termasuk sebuah buku NGO itu dan meminta ia membayar kos sebanyak RM81,518 sebagai tambahan terhadap ganti rugi kepada Tabung Bruno Manser.
Pengarah Eksekutif Tabung Bruno Manser, Lukas Straumann menyambut baik perintah mahkamah itu yang disifatkannya satu bentuk galakan untuk mereka meneruskan perjuangan menentang rasuah dan pengubahan wang oleh pemimpin Malaysia tertentu.
“Kemusnahan hutan hujan Borneo hanya boleh dihentikan jika kita dapat menangani aktiviti rasuah politik tersembunyi.”
Tabung Bruno Manser ialah kumpulan alam sekitar yang memperjuangkan pemuliharaan hutan hujan tropika terancam dan hak pribumi yang tinggal dalam hutan.