
“Sebab itu kerajaan persekutuan sekarang akan berusaha untuk merapatkan hubungan miskin dan kaya, supaya kekayaan ini akan diagihkan dengan saksama dengan semua kaum,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Perdana Perpaduan anjuran Majlis Perundingan Perpaduan Pulau Pinang hari ini.
Pulau Pinang mengisytiharkan 8 Februari sebagai Hari Perpaduan sempena ulang tahun kelahiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.
Perdana menteri berkata, merapatkan jurang pendapatan itu juga dapat mengelakkan sesetengah kaum dilabelkan lebih kaya daripada lain, keadaan yang beliau anggap “bahaya”.
Katanya, beliau gembira melihat Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum berada dalam suasana aman dan harmoni sejak negara mencapai kemerdekaan.
Keadaan ini, beliau berkata, berbeza dengan negara di Afrika dan Lautan Pasifik yang sering dilanda persengketaan dan rusuhan kaum.
Dr Mahathir memberi contoh nasib etnik Rohingya yang dihalau dari Myanmar “secara kejam”.
Beliau turut gembira Malaysia dapat menerima individu daripada kumpulan etnik berlainan berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) yang tidak membenarkan kaum lain berhijrah ke negara mereka.
“Di AS, (Presiden Donald) Trump merancang membina tembok menghalang individu dari Amerika (Selatan). Di Eropah, kita nampak ramai pelarian melarikan diri daripada persengketaan di negara mereka tidak dibenarkan masuk.”
Oleh itu, katanya, rakyat Malaysia perlu terus bersatu ketika negara dalam usaha menjadi negara maju menjelang 2025.
Menggunakan kata-kata “tak kenal maka tak cinta”, Dr Mahathir juga menasihatkan rakyat belajar mengenali budaya dan cara kehidupan kaum lain.
“Saya tahu kita lambat, tetapi lebih baik lambat daripada tidak (bergerak) langsung,” kata Dr Mahathir yang pernah menetapkan matlamat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020, ketika menjadi perdana menteri ke-4 dahulu.
Katanya, walaupun kerajaan bertukar tangan, pentadbiran di Pulau Pinang kekal dengan kewujudan dan kerjasama kukuh antara masyarakat berbilang kaum.