
M Pathma berkata beliau sedar ijazah dari CIU, yang dilabel sebagai “kilang diploma” tidak diiktiraf.
Tetapi Pathma, yang bekerja sebagai pengurus gudang pada 2005 tidak mampu mengikuti pengajian sepenuh masa.
Oleh itu, beliau mengikuti kursus tersebut, yang pada waktu itu tidak ditawarkan universiti tempatan.
“Ia sangat mengecewakan setengah pihak menggelarkannya ijazah universiti palsu, walaupun belajar bertungkus-lumus selama 2 tahun.
“Saya rasa orang gagal membezakan antara ijazah palsu dengan yang tidak diiktiraf,” katanya kepada FMT.
“Ijazah yang diiktiraf adalah untuk mereka yang berhajat memulakan kerjaya bertaraf tinggi dan laku di pasaran. Tetapi bagi mereka yang bekerja sendiri dan ada perniagaan sendiri, pengiktirafan tidak penting,” kata Pathma.
CIU mendapat perhatian media baru-baru ini selepas pendedahan mengenai status ijazah Universiti Cambridge Datuk Marzuki Yahya yang didakwa palsu sebelum diubah kepada nama universiti lain yang tidak diiktiraf oleh mana-mana badan akreditasi pendidikan.
Pathma berkata kursus yang ditawarkan CIU memenuhi keperluan mereka yang ingin mengembangkan pengetahuan yang boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi kerja.
Pathma berkata apa yang dikehendakinya adalah meningkatkan pengetahuannya.
Kursus logistik yang ditawarkan di CIU, termasuk modul mengenai interpretasi kredit dokumentari, katanya, sesuatu yang berguna dalam perdagangan antarabangsa.
Pathma menamatkan ijazah pada 2009 dan menghadiri majlis graduasi yang diadakan di Universiti Malaya, di mana beliau menerima sijilnya dari ahli politik PPP Datuk T Murugiah, yang kini timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pathma berkata kelayakan akademik pertamanya juga tidak diiktiraf, iaitu diploma sains komputer dari Institut Teknologi TMC, Sungai Petani, Kedah.
“Tengok Bill Gates, yang tercicir dari Harvard, kini antara individu yang terkaya di dunia. Adakah anda tidak akan membeli produknya hanya kerana dia tiada ijazah?” soal Pathma.
Sebuah portal yang menyediakan maklumat mengenai program pendidikan tinggi di Eropah, Mastersportal.com melabelkan CIU sebagai “kilang diploma”. Menurut portal itu, terdapat 2,615 “kilang diploma” di seluruh dunia pada 2017.