
Perdana menteri berkata penubuhan majlis yang namanya belum dikenal pasti setakat ini, akan berfungsi seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang pernah diwujudkan pada 1998.
“Kita akan tentukan masalah-masalah (ekonomi) yang akan dibawa kepada majlis ini dan (seterusnya) menentukan tindakan dan keputusan yang akan dibuat. Tindakan yang akan diambil juga akan lebih cekap berbanding sekarang.
“Pada masa ini, ia agak berpecah kerana kita tidak ada satu badan khusus yang menentukan soal mengenai pelaburan-pelaburan dan sebagainya. Ada yang dibawa kepada kementerian-kementerian (berbeza) tetapi mungkin tindakan itu tidak sebegitu jelas kepada rakyat,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.